Pas perlu pilih UMNO atau Bersatu

Pas perlu pilih UMNO atau Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pas perlu buat ketetapan. Pilih UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan komponennya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15)?

Tidak perlu retorik. Muktamadkanlah. Kembali kepada rea­liti yang UMNO sama sekali tidak dapat terima Bersatu sebagai rakan kongsi.

Siapa yang tidak sakit hati bila mereka yang menang PRU14 atas tiket UMNO, platform UMNO, sumber kos belanja meraih undi rakyat untuk menang pun dari UMNO, tiba-tiba boleh tikam belakang, lompat ke Bersatu.

Ada kira-kira 16 pelompat ini, sekali gus kerusi Parlimen UMNO menjunam dari 54 yang dimenangi dalam PRU14, ke 38. Siapa tidak marah bila dikhianati sebegitu rupa? Lari dari parti, medan perang dan perjuangan.

Baik UMNO mahupun Pas, barangkali cukup berhati-hati dalam menentukan percaturan memasuki gelanggang getir PRU15. Ia penentu hidup mati survival parti.

Kedua-dua parti pasti ambil iktibar dari kisah Trojan Horse – ketika tentera Sparta dan Athens membuat muslihat berundur dengan meninggalkan Kuda Trojan sebagai ‘hadiah’ kerana gagal menakluki Kota Troy. Apabila boneka kuda yang kononnya sebagai persembahan kepada dewa itu dibawa ke dalam kota, rupa-rupanya disembunyikan bala tentera di dalam Kuda Trojan tersebut.

Akhirnya Tentera Athens dan Sparta berjaya masuk kerana pintu kota dapat dibuka dari dalam.

Selagi UMNO-Pas, dua parti Melayu terbesar ini yang mewakili 65 peratus orang Melayu masih dengan jalan masing-masing – tidak bersatu – Melayu takkan ke mana. Wal hasil balik asal dengan majoriti suam-suam kuku memerintah. Seorang dua sahaja dalam kerajaan menipis ini tarik hand brake, tumbanglah ia. Kestabilan bertukar kekacauan.

Pas-UMNO harus tunjukkan keikhlasan bersama di atas satu pentas. Jangan sekadar pemimpin peringkat tertinggi sahaja ambil inisiatif, ahli, pengikut, penyokong kedua-duanya mesti dilibat sama, terus dimaklum serta diperjelas tujuannya.

Senang cakap, jika undi Pas-UMNO tidak berpecah serta sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus undi bukan Melayu kembali, nescaya kuasa majoriti Melayu boleh kembali dalam genggaman.

Politik tanah air sejak berdekad-dekad lalu adalah dinamik. Pernah Pas sampai bertanding gunakan logo BN dalam PRU 1974 dan terbukti membuahkan hasil menang besar.

Meskipun masalah Melayu apabila berpolitik terlampau sangat berparti, hakikatnya politik majmuk seperti Malaysia perlukan pemimpin Melayu menjadi teras dalam kerajaan.

Rakyat tidak pandai berfalsafah dengan teori-teori pelik. Mereka mahu “duit di tangan dapat beli keperluan hidup”. Rakyat mahukan kesejahteraan ekonomi, pendidikan dan sosio-politik yang harmonis. Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tentunya tidak mahu hak-hak perlembagaan mereka disentuh dan disusutkan. Masyarakat Cina dan India pula mahu hak mereka sebagai rakyat diambil kira dalam penggubalan dasar-dasar utama.

Mengadun ini semua perlukan seni dan keupayaan meme­rintah serta mentadbir.

Parti-parti politik Melayu berlaga, terus bertelingkah, untungnya siapa? – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya