Padah lawak melampaui batas

Padah lawak melampaui batas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syabas kepada Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyenarai hitam seumur hidup pemilik Crackhouse Comedy Club daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di sekitar ibu negara.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang turut memaklumkan DBKL juga bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur. Ia termasuk jika pemilik kelab berkenaan menggunakan nama dan syarikat berlainan.

Pada 13 Julai lalu, operasi Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) digantung sementara operasi oleh DBKL selepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Sebelum ini, pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman.

Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Begitulah padah jika semua benda hendak dibuat lawak. Melawak dan melakukan stand up comedy umumnya tidak salah. Namun menjadikan isu perkauman dan isu agama sebagai subject matter memang salah.

Di Malaysia, hak kebebasan bersuara terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia jelas menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada warganegara.

Namun, perlu diingat tiada kebebasan mutlak dalam dunia ini. Kebebasan bersuara atau apa-apa jua kebebasan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, sepatutnya sebarang komedi atau filem hendaklah menjurus kepada memupuk keharmonian kaum. Bukannya lawak yang memecah-belahkan perpaduan yang sekian lama dipupuk dan dibaja sejak negara mencapai kemerdekaan 65 tahun lalu.

Melawaklah cara bijak iaitu menghiburkan penonton de­ngan unsur satira yang universal. Adakalanya tanpa dialog pun. Umpama kita menonton lawak oleh aktor Britain, Charlie Chaplin, aktor komedi senyap kelahiran Amerika Syarikat, Harold Lloyd dan Mr. Bean. Tiada unsur perkauman dan agama tetapi penonton tetap boleh ketawa berdekah-dekah.

Harold Lloyd pernah membintangi kira-kira 200 filem silent comedy dalam era kegemilangannya antara tahun 1914 hingga 1947. Charlie Chaplin pula berada pada puncak kegemilangan antara tahun 1921 hingga 1936.

Kalau tak mampu membantu memupuk perpaduan dan keharmonian sesama masyarakat, janganlah kita menjadi orang yang merosakkan perpaduan itu di bumi yang tercinta ini. – UTUSAN

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia