Norma baharu politik Malaysia

Norma baharu politik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), saya dan beberapa pengamal media lain berkesempatan bertemu dengan seorang tokoh politik bertanyakan jangkaan keputusan pilihan raya tersebut.

Ringkas jawabnya, keputusan PRU15 kemungkinan ‘Parlimen tergantung’ atau maksud lain, tiada parti tunggal boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Jangkaan beliau tepat apabila awal pagi 20 November 2023, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada parti boleh membentuk kerajaan sekali gus memerlukan kerjasama agar cukup jumlah membentuk kerajaan.

Di akhir sembang politik itu, saya sempat bertanyakan sampai bila politik Malaysia berhadapan situasi parti politik memerlukan pakatan dalam membentuk kerajaan,

Spontan jawabnya, ‘mungkin dua pilihan PRU lagi’ atau erti kata lain bermakna PRU-17, baru ada parti tunggal membentuk kerajaan.

Model kerjasama politik untuk membentuk kerajaan mungkin baharu bagi Malaysia, namun tidak asing bagi negara lain seperti Kanada, United Kingdom dan Belanda apabila parti memiliki ba­nyak kerusi perlu merangka memorandum persefahaman dengan parti lawan lain, meskipun bertentangan ideologi dan pandangan.

Ada negara berjaya sehingga pilihan raya seterusnya, ada juga tidak sehingga kerajaan jatuh dan pilihan raya terpaksa diadakan dalam tempoh singkat kerana terdapat parti menarik sokongan kerana tidak sehaluan.

Berbalik kepada jangkaan tokoh politik itu bahawa tiada parti boleh membentuk kerajaan sehingga PRU17, sekali gus mengi­ngatkan kata-kata tersebut pada akhir pertemuan yang berlangsung di ibu negara.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, masalah itu tidak pernah berlaku sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila Barisan Nasional (BN) yang mendominasi politik tanah air sejak sekian lama tewas buat pertama kalinya kepada Pakatan Harapan (PH).

Meskipun PH kemudiannya dapat membentuk kerajaan, ha­nya bertahan 22 bulan ekoran berlaku Langkah Sheraton yang menyebabkan negara berdepan ketidakstabilan politik sehingga tiga Perdana Menteri dilantik dalam tempoh satu penggal Parlimen.

Ramai bimbang episod sama berlaku selepas PRU15, namun negara sudah mempunyai undang-undang anti lompat parti di samping kewujudan kerajaan Perpaduan antara PH, BN, Gabu­ngan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti lain, akhirnya kerajaan bertahan hingga kini.

Timbul persoalan adakah pakatan sedia ada, kekal sehingga PRU16 yang menyaksikan parti kerajaan Perpaduan membentuk kerjasama politik atau sebaliknya? Soalan ini pernah dijawab seorang pemimpin tertinggi politik parti kerajaan yang mengatakan BN dan PH akan berkerjasama dalam PRU.

Kalau benar, ramalan nujum tokoh politik itu mungkin tepat dalam membayangkan tiada parti tunggal mampu membentuk kerajaan dan memerlukan pakatan.

Jika andaian itu benar, mustahil Malaysia masih seperti Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang berupaya membentuk kerajaan secara solo tanpa kehadiran parti lawan ketika pilihan raya umum baru-baru ini dan mudah merangka dasar tanpa penglibatan pihak lain.

Mungkin terlalu awal membincangkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana tempoh hayat lima tahun Parlimen sekitar hujung 2027 iaitu tinggal dua tahun lagi untuk berhadapan pilihan raya, tetapi ia menunjukkan model jajaran politik kini menjadi norma baharu politik Malaysia. – UTUSAN

Juani Munir Abu Bakar ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia