Nilai sebuah Rukun Negara

Nilai sebuah Rukun Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUKUN Negara merupakan falsafah yang menjadi dasar kesa­tuan, perpaduan serta pedoman kepada kehidupan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini.

Sejak diwujudkan pada 1970, tujuannya untuk mencapai satu pengertian terhadap aspirasi nasional antara kaum di Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan masing-masing.

Dulu, setiap ketua murid akan membacanya dan diikuti murid lain setiap kali perhimpunan sekolah. Rutin itu berlaku dari satu generasi ke generasi lain. Entahlah sama ada amalan serupa dibuat sehingga sekarang.

Sejarah panjang Malaysia yang melalui pelbagai peristiwa suka dan duka sepatutnya menjadi garis panduan dan sempadan setiap daripada warganya untuk saling hormat menghormati sejajar dengan prinsip kelima rukun, iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku rakyat. Sifat individu amat penting dalam konteks mewujudkan perhubungan positif antara satu sama lain.

Pendek kata, masyarakat yang tinggi moralnya akan mewujudkan suasana kehidupan harmoni, benci akan tingkah laku yang angkuh sehingga menyinggung perasaan orang lain.

Hidup bernegara sepatutnya ada usaha dalam kalangan rakyatnya untuk sentiasa memiliki semangat kesusilaan yang tinggi dan prinsip ini sewajarnya dipelihara sampai bila-bila.

Justeru, apa jua perbuatan yang boleh menggugat keharmonian rakyat tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan Rukun Negara yang menjadi tulang belakang negara ini.

Ketika pelbagai ujian melanda negara seperti kenaikan kos sara hidup, inflasi, politik dan isu kesihatan yang belum reda, rakyat sepatutnya lebih bertanggungjawab, sama-sama membantu antara satu sama lain dan bukannya mencetuskan polemik isu-isu sensitif.

Nilai keamanan dan keharmonian tidak boleh dijual beli. Belajar daripada peristiwa yang dilalui rakyat Syria, Somalia dan Iraq yang menyaksikan hancurnya nilai-nilai ketamadunan kemanusiaan.

Antara punca terbesar konflik yang berlaku adalah salah faham terhadap agama dianuti. Bukan agama itu yang salah, tetapi cara memahami agama itu yang salah.

Tiada lagi kesederhanaan, sebaliknya ummah terjurus kepada terlalu rigid dan longgar, melampau dan mengambil mudah melalui cara berfikir dan bertindak.

Kalau mengikut laporan Indeks Keamanan Dunia (WPI) Malaysia menduduki tangga ke-18 berbanding negara-negara lain, namun jauh ditinggalkan Singapura di tangga kesembilan.

Walaupun pencapaian ini dianggap baik dan menyertai Singapura dalam kelompok 20 terbaik di seluruh dunia berbanding negara-negara ASEAN lain, namun ia boleh diperbaiki lagi. Cukuplah peristiwa hitam yang pernah dilalui dahulu menjadi lipatan sejarah.

Mendepani isu-isu semasa berkaitan ekonomi perlu menjadi keutamaan. Menjadi rakyat yang bertanggungjawab lebih diutamakan dan bukannya mengeksploitasi isu remeh yang akhirnya mengundang padah kepada diri sendiri kerana kesannya terlalu besar. – UTUSAN

  • Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.