Misteri kejatuhan ringgit - Utusan Malaysia

Misteri kejatuhan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG rakan mengeluh mengenai pertambahan perbelanjaan untuk anaknya di UK kerana kejatuhan ringgit. Pada 23 Februari tahun lalu, nilai ringgit kepada pound sterling hanya RM5.30.

Hari ini nilainya telah meningkat kepada RM6.06. Ini bermakna dia terpaksa mengeluarkan 70 sen lebih untuk setiap pound.

Begitu juga mereka yang menghantar anak yang belajar di Amerika Syarikat. Ringgit menurun kepada paras kali terakhir dilihat semasa krisis Asia Timur 1997/98 apabila mencecah RM4.8 minggu lalu.

Untung mereka yang meraih pendapatan dalam dolar Amerika, Petronas yang menjual minyak dalam matawang itu atau rakyat Singapura yang berbelanja seperti ke Disneyland dengan melepasi tambak Johor. Kebanyakan rakyat Malaysia akan merasai kesan kejatuhan ringgit dalam tempoh enam bulan daripada sekarang.

Ini kerana 60 peratus makanan diimport. Pendapatan syarikat tempatan dalam ringgit tetapi bahan yang diimport dibayar dalam dolar Amerika. Pada Februari tahun lalu, ringgit diniagakan pada RM4.2 kepada AS$1. Hari ini ia adalah RM4.8. Itu bermakna kos meningkat sebanyak 60 sen untuk setiap dolar.
Tahun ini, ringgit telah melemah 5% dan keadaan itu menjadi cabaran kepada kerajaan.

Mereka berusia 50-an masih teringat ‘derita’ apabila ringgit melemah kepada RM4.80. Cuma beza­nya ketika itu kadar faedah naik sehingga 15%. Setiap peminjam buntu mencari wang tambahan menampung kehidupan apabila bayaran pinjaman bulanan RM700 menjadi RM1,300.

Apa yang menyebabkan kejatuhan ringgit? Sepandai mana ahli ekonomi atau ahli teori kewangan, tiada siapa dapat memberikan jawapan tepat. Sekadar teori dan modal politik hanya sesuai untuk bergebang di kedai kopi.

Matawang adalah perniagaan besar dan lumayan. Menurut Bank for International Settlements, nilai pasaran tukaran asing adalah AS$7.5 trilion sehari pada April 2022.

Transaksi tukaran matawang di UK sahaja adalah AS$2.6 trilion sehari. Untuk perbandingan, ekonomi Malaysia setahun hanya AS$430.8 bilion. Matawang yang ditukar dan diniagakan adalah AS$7.5 bilion sehari.

Bolehkah kita mempertahankan nilai ringgit? Rizab Bank Negara hanya AS$115 bilion dan tidak mungkin dapat untuk mencelah dalam pasaran tukaran asing. Pengeluar telefon Apple ada lebih AS$162 bilion tunai, lebih banyak daripada bank pusat Malaysia.

Polisi menaikkan kadar faedah bagi mengukuhkan nilai ringgit akan menyebabkan puluhan ribu menjadi miskin atau bankrap seperti pada 1998. Apabila syarikat bankrap ramai akan dibuang kerja. Jadi Bank Negara adalah seperti harimau tanpa taring.

Berbeza dengan Singapura yang tidak siapa tahu sebanyak mana wang rezab dimilikinya, Malaysia tidak ada kekuatan kewangan menentang transaksi wang antarabangsa.

Apa yang boleh dilakukan Malaysia? Kerajaan boleh memaksa agensi dan agensi pelaburan dengan pegangan dan nilai besar di luar negara untuk menjual ekuiti mereka dalam dolar dan membawa pulang hasil berkenaan ke Malaysia.

Syarikat tempatan boleh dilarang membuat pelaburan di luar negara seperti mana dilakukan Beijing ketika menghalang pembelian hartanah bagi mengelak pengaliran keluar wang oleh warganya.

Mengurangkan eksport dalam bentuk bahan mentah sebaliknya memaksa pengeluar antarabangsa melabur di Malaysia sebagai pusat pengeluaran bahan siap kerana nilainya lebih tinggi berbanding menjual mentah.

Untuk tempoh tertentu kerajaan boleh melarang pero­lehan kerajaan dari luar negara terutama dalam dolar sekiranya barang itu boleh didapati di Malaysia.

Malaysia tidak mungkin menang dalam peperangan dalam perniagaan matawang tetapi sekurang-kurangnya kita tidak duduk berdiam diri. Kuda terpantas tidak akan menang tanpa joki.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.