Merakyatkan sektor penyelidikan dan pembangunan - Utusan Malaysia

Merakyatkan sektor penyelidikan dan pembangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA tahun 1991, ekonomi China menduduki tangga ke-10 di belakang Kanada. Ketika itu China membelanjakan 1.53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Jauh di belakang Amerika Syarikat dan Jepun secara puratanya memperuntukkan 2.5 hingga 2.7 peratus daripada KDNK masing-masing.

Bagaimanapun, di bawah perancangan lima tahun Beijing, bermula dari 2010 hingga 2015, negara Tembok Besar itu menaikkan perbelanjaan R&D kepada 2.06 peratus dengan sasaran mencapai 2.2 peratus untuk tahun-tahun berikutnya dalam banyak bidang.

Data antarabangsa merekodkan perbelanjaan China dalam R&D pada tahun 2018 meletakkan negara itu pada kedudukan kedua di belakang Amerika Syarikat dengan peruntukan 23.2 bilion hingga 463 bilion, naik 2.23 peratus pada 2019, mengatasi Jepun dan negara-negara Eropah.

Pelaburan besar dalam aspek R&D termasuklah penerokaan angkasa lepas menjadikan China pada hari ini, sebuah kuasa dunia yang disegani. Apa yang dibuat oleh China membuktikan betapa besarnya peranan R&D dalam mensejahterakan ekonomi dan penduduknya.

Seperti ucapan Presiden China kepada rakyatnya dalam Kongres Parti ke-19: President Xi Jinping specifically called on China to “strengthen basic research, and make major breakthroughs in pioneering basic research and groundbreaking . . . innovations”.

Malaysia sewajarnya mencontohi China untuk menjadi lebih berani melabur dengan ‘angka lebih besar’ dalam penyelidikan dan pembangunan. Bidang kesihatan, pertanian, pembuatan dan teknologi memerlukan inovasi yang sentiasa memenuhi keperluan semasa.

Daripada perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada soal teknologi digital, gaya pemikiran dan pendekatan dalam R&D mengikut acuan Malaysia perlu diubah. Geran-geran pembiayaan untuk tujuan penyelidikan memerlukan transformasi ke alam realiti, dan bukan lagi sebagai rujukan akademik semata-mata.

Banyak sektor berasaskan pembuatan, pertanian dan perikanan di negara ini yang memerlukan pembangunan R&D. Buka geran untuk semua orang yang telah terbukti berpotensi melonjak nama ‘Barang Buatan Malaysia’.

Jika kejayaan mengaplikasi R&D dapat diadakan, kita tidak akan mendengar lagi keluhan pesawah tentang benih padi tidak bermutu dan banyak lagi.

Nama-nama besar dalam dunia inovasi dan teknologi seperti Zulkifli Haron, Ruslin Tamsir dan banyak lagi wajar diberi tempat dalam agenda ini.

Dari satu sudut, pembangunan semua sektor berasaskan kemajuan R&D mampu mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu, malah kepentingannya juga akan menjadi petunjuk hala tuju dasar pendidikan berasaskan sains dan teknologi.

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia