Menu Rahmah: Rakyat gembira, kerajaan popular - Utusan Malaysia

Menu Rahmah: Rakyat gembira, kerajaan popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA tiga hari ini ramai bersembang mengenai Menu Rahmah. Semua kategori B40, M40 atau T20 bertanya di mana mahu nikmati hidangan Rahmah yang diuar-uarkan RM5 sahaja bagi setiap hidangan.

Program baru tiga hari dimulakan tetapi cepat popular dan mungkin menjadi antara inisiatif paling dihargai rakyat dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramai tidak menyangka, menu RM5 untuk makan tengah hari atau malam masih boleh disediakan oleh pengusaha makanan ketika seluruh dunia sedang mengeluh mengenai kenaikan kos sara hidup.

Rata-rata yang mencuba Menu Rahmah yang berlauk sama ada ikan, ayam disertai sayur dan setengah-tengah premis turut diberi air minuman sangat berpuas hati dengan tawaran tersebut.

Buat masa ini, kira-kira 15,000 premis makanan di seluruh negara menyertai program Menu Rahmah dan angka itu dijangka terus meningkat dan diperluaskan ke seluruh pelosok negara.

Bukan setakat itu, Kerajaan Perpaduan turut dalam perancangan menambahkan inisiatif Bakul Rahmah, Pakej Harga Barang Rahmah dan Kafe Rahmah menjelang hujung Mac ini.

Menu Rahmah dibenarkan untuk dinikmati seluruh rakyat tetapi Program Bakul Rahmah hanya akan disasarkan kepada golongan keluarga miskin tegar setiap bulan manakala Pakej Harga Barang Rahmah bakal meliputi 12 barang keperluan asas yang boleh dibeli pada harga ditetapkan.

Kafe Rahmah pula diuar-uarkan akan dibuka di universiti-universiti tempatan bermula di Kuala Lumpur merangkumi sarapan pagi dan makan tengah hari percuma sementara makanan malam akan ditawarkan dengan diskaun hingga 50 peratus.

Kesimpulannya, kehadiran inisiatif Rahmah di tengah-tengah desakan supaya kerajaan membenarkan sekali lagi siri pengeluaran KWSP sangat melegakan rakyat.

Semoga program lain di bawah jenama Rahmah akan terus ‘menggembirakan’ dan paling besar maknanya menjadi rahmat buat rakyat kerana pelaksanaannya boleh dinikmati secara terus kumpulan sasar.

Lebih daripada itu, program Rahmah mula meraih kembali keyakinan rakyat bahawa negara sedang diurus secara baik di sebalik penyelewengan demi penyelewengan dana besar kerajaan yang sedang disiasat SPRM.

Mungkin inilah antara penyelesaian Perdana Menteri yang sebelum ini kurang berminat untuk meluluskan desakan agar rakyat sekali lagi dibenar mengeluarkan simpanan KWSP.

Ini kerana Perdana Menteri bersimpati apabila melihat simpanan pencarum yang rata-rata sangat kecil dan jika pengeluaran KWSP dibenarkan lagi, ia akan memberikan kesan kepada masa depan pencarum.

Kesimpulannya, melihat pentadbiran dipimpin Pengerusi Pakatan Harapan yang memasuki bulan keempat, rakyat mulai nampak sinar Malaysia ada kemampuan menyaingi kembali kepantasan Vietnam dan Indonesia dalam memajukan negara dan rakyat masing-masing.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia