Mental kerakyatan, aspirasi rakyat - Utusan Malaysia

Mental kerakyatan, aspirasi rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PANDANGAN umum dari fraksi-fraksi Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) dapat dikatakan mencerminkan aspirasi rakyat.”

Demikian ‘pepatah’ yang pernah disuarakan susuk tubuh bernama Amien Rais, antara tokoh politik disegani di Indonesia.

Tepat sekali kata-kata beliau ketika membicarakan mengenai peranan MPR dalam membawa suara rakyat, ‘beban’ yang dipikul rakyat selain apa jua nasib yang membelenggu rakyat.

Ketika dunia masih ‘dihambat’ penularan Covid-19, suara rakyat yang terkesan, perlu diangkat, dibicarakan, didebat dan dijadikan isu utama untuk diselesaikan.

Itulah peranan MPR, dalam konteks Malaysia disebut sebagai Parlimen.

Malah seorang pemikir, Emha Ainun Nadjib atau dikenali sebagai Cak Nun pernah menulis: “Pelajaran terpenting bagi calon pemimpin adalah kesanggupan menjadi rakyat. Barangsiapa sanggup menjadi rakyat yang baik, itulah pemimpin yang baik. Maksudnya, sikap mental seorang pemimpin haruslah sikap mental kerakyatan.”

Bagaimana harus ‘bermentalkan kerakyatan’? Itulah cabaran utama seorang pemimpin dalam nak menjadikan permasalahan rakyat itu dapat disuarakan di peringkat tertinggi.

Walaupun mungkin nanti apa yang diputuskan itu tidak dapat menepati cita rasa semua, sekurang-kurangnya rakyat tahu pemimpin ‘buat kerja’ demi mereka. Atas sebab itulah, segala bentuk permasalahan rakyat perlu diambil peduli, di Parlimen, bukannya di kedai kopi atau ‘warung-warung melepak’ di media sosial.

Untuk itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlulah berbesar hati dan berani mendepani apa jua hiruk-pikuk ‘mahligai’ tersergam indah di Jalan Parlimen itu. Setidak-tidaknya, Yang Berhormat (YB) Ma’mun Sulaiman dapat juga membawa suara rakyat Kalabakan, begitu juga apa kata orang Kangar yang hendak dibawakan oleh YB Noor Amin Ahmad?

YB Rubiah Wang juga pastinya ‘teruja’ untuk menyuarakan isi hati rakyat Kota Samarahan, bukan? Tak kurang juga, mesti YB Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ada pendapatnya tersendiri bagi merungkai masalah utama rakyat yang ketika ini terkesan teruk akibat Covid-19.

Bukalah, bersidanglah Parlimen. Negara lain pun berdepan Covid-19 juga, Parlimen tetap bersidang sebagai medan utama mendepani masalah rakyat.

Bagi kita, apa sahaja yang rakyat perlukan atau hadapi ketika ini? Ada yang bisnes ‘berkubur’, ada yang hilang kerja, tekanan hidup, ‘dapur tak berasap’ dan anak-anak tak cukup peranti untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Itu sebahagian daripada ‘rutin harian’ masalah rakyat yang perlu wakil rakyat fikirkan bersama.

Metra Syahril Mohamed ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya