Menjelang PRU15: Yang tersurat dan tersirat

Menjelang PRU15: Yang tersurat dan tersirat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sana sini orang bercakap tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tarikh sepatutnya diadakan. Ada yang kata patut diadakan dalam tempoh sebulan dua ini, sesetengahnya pula mahu tahun depan dan ada juga yang berpendapat tunggu sahaja tempoh penggal Parlimen kali ini berakhir pada Julai tahun depan.

Apa pun pandangan yang diberikan sudah pasti mereka mempunyai alasan dan agendanya sendiri. Namun akhirnya, yang akan menentukan tarikh tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau sendiri sudah pasti ada tarikh yang difikirkan wajar untuk diadakan PRU15 bagi memastikan parti yang dinaungi menang dan juga kelangsungan politiknya.

Ismail Sabri mempunyai keistimewaan untuk memilih tarikh itu tetapi sehingga kini masih terbuka membincangkannya bersama rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional (BN) dan juga dalam Kabinet pelbagai parti beliau.

Hari ini dalam mesyuarat Kabinet, perkara itu akan ditimbulkan supaya beliau mendapat lebih banyak input sebelum memutuskan tarikh PRU15. Banyak perkara perlu dilihat terutama soal musim tengkujuh dan bencana banjir dalam tempoh sebulan dunia ini selain mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara yang mencabar ketika ini.

Ada baiknya juga perkara itu dibincang dalam Kabinet kerana wakil pelbagai parti ada di dalamnya. Walaupun satu kerajaan, perjuangan politik mereka berbeza. Sudah pasti perbincangan berlangsung panas tetapi apa pilihan yang ada pada Perdana Menteri?

Ketika Perdana Menteri mencongak-congak tarikh PRU15 yang sesuai, parti-parti pembangkang juga sudah bekerja keras untuk merampas kembali kerajaan daripada BN.

Kalau dilihat pada gerak kerja kempen dan ceramah-ceramah politik pemimpin pembangkang seolah-olah PRU15 akan diadakan minggu depan. Apa yang mereka tidak sentuh? Segalanya diperkatakan bagi menunjukkan kerajaan yang ada gagal dan tidak pandai mengurus ekonomi negara.

Namun pada masa sama mereka tidak bersetuju pula PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat atas alasan musim tengkujuh yang dikhuatiri boleh menjejaskan komitmen kerajaan membantu rakyat yang terjejas.

Bagi mereka, PRU dalam tempoh terdekat hanya untuk melepaskan kluster mahkamah daripada kes-kes yang sedang dihadapi di mahkamah. Atau apakah mereka sebenarnya belum bersedia dari segi gerak kerja dalam gabungan ‘Kemah Besar’ untuk berhadapan PRu15.

Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas lantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 juga sudah mula masuk gelanggang politik secara terbuka, sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan peneraju badan kehakiman.

Tiga perkara beliau ingatkan parti pembangkang iaitu pertikai kemampuan dua kerajaan Melayu selepas tumbangnya PH pada 2020, menjuarai isu rakyat dan juga terus memerangi isu rasuah.

Relevankah kenyataan beliau itu, apakah ia akan menjadi modal dalam kempen PRU15 dan gagalkah kerajaan sedia ada? Semuanya akan dijawab di peti-peti undi apabila Ismail Sabri menentukan pembubaran Parlimen. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya