Mengembalikan Malaysia yang betul - Utusan Malaysia

Mengembalikan Malaysia yang betul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Kejohanan Pestabola Merdeka 1980 edisi ke-24 di Sta­dium Merdeka dari 15 Oktober hingga 2 November 1980, pasukan Malaysia dan Maghribi bersaing sengit.

Di peringkat kumpulan 24 Oktober, Malaysia menewaskan Maghribi 2-0. Dua hari sebelum itu Harimau Malaya seri 1-1 dengan Korea Selatan dan Maghribi pula membenam Thailand 2-1. Pada 26 Oktober, New Zealand pula dikalahkan Maghribi 3-0, sebelum esoknya Kuwait menjadi mangsa 3-0 di tangan negara Afrika itu.

Malaysia pula menyingkirkan Kuwait 2-1 pada 29 Oktober sebelum memperbudakkan New Zealand 2-0 esoknya. Korea Selatan yang turut bersaing bersama Indonesia, Thailand dan Burma, tidak setanding Malaysia yang menjadi kuasa besar bola sepak Asia waktu itu. Jepun belum nampak aura samurai bolanya.

Meskipun jumlah mata di peringkat kumpulan menyaksikan Malaysia mengatasi Maghribi 11-10, dalam perlawanan akhir Pestabola pada 2 November 1980 itu, Malaysia kecundang 1-2 kepada Maghribi yang membawa pulang piala kemenangan.

Itu 1980, belum lagi dikira Pestabola 1979 yang turut disertai Jepun, dengan Malaysia menjadi juara bersama Korea Selatan, seri 0-0.

Pestabola Merdeka disertai pasukan-pasukan hebat yang digeruni seperti mana dalam Piala Dunia 2022 hari ini. Antaranya Iraq yang menang 1-0 ke atas Sao Paulo X1 dari Brazil dalam perlawanan akhir 20 September 1981. Ghana pula tewas 3-0 kepada Santa Catarina X1 dari Brazil dalam kejohanan sama 1982 di Stadium Merdeka yang turut disaingi Senegal. Pada 1983, pasukan Olimpik Amerika Syarikat, Olimpik Korea Selatan, Argentina dan Algeria turut sama menyaingi Korea Selatan, Malaysia serta Bangladesh dan Nepal pada Pestabola 1983. Akhirnya Argentina dan Algeria masuk final 2 Oktober 1983, dijuarai Argentina 2-1.

Pestabola Merdeka menjulang gah Malaysia. Siri kejohanan itu yang bermula sejak merdeka, khususnya menyaksikan Malaysia sukar dikalahkan di era 60-an dan 70-an, menarik minat dunia untuk menjenguk dan menguji kehebatan Malaysia. Pada 1972, Malaysia tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan namun Malaysia menjuarai Pestabola 1973 membenam Kuwait 3-1, yang sebelum itu Kuwait menang tipis ke atas Korea Selatan di separuh akhir. Pada 1974, Malaysia membenam Korea Selatan 1-0 untuk menjuarainya, tetapi dibalas Korea Selatan jaringan sama di perlawanan akhir 1975. Dalam perlawanan akhir 22 Ogos 1976 pula, Jepun diratah Malaysia 2-0.

Siapa pemain-pemain Malaysia yang penuh inspirasi, belum ada ‘jual beli’ pemain seperti hari ini, dengan menumpahkan sepenuh keringat, jiwa raga kepada negara tercinta di era kegemilangan bola sepak negara 60-an, 70-an dan awal 80-an itu? Dua kali layak ke Olimpik Munich, Jerman 1972 dan Olimpik Moscow, Russia 1980. Anda boleh google senarai mereka ini yang terdiri daripada pemain semua kaum.

Malaysia yang hebat perlu dikembalikan. Bukan sahaja dalam arena bola sepak serta kekuatan perpaduan kaumnya, tetapi persada politiknya perlu dahulu diperbetulkan. Kunci utamanya – di landasan yang betul, seperti mana kerajaan di awal 80-an, punyai tekad, impian memacu negara ke aras tinggi.

Kabinet Kerajaan Perpaduan yang sudah dilengkapkan harus tekad berani membuat keputusan demi manfaat rakyat. Jangan terikat lagi dengan ‘tukang sogok atau tukang gendang rebana’.

Maghribi yang ditewaskan Malaysia 1980, akan bertemu Perancis di separuh akhir lusa ini 3 pagi. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai julang Piala Dunia Atlas Lions!

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya