Mencari ketaatan Khalid al Walid

Mencari ketaatan Khalid al Walid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali menjelang hari penamaan calon dalam mana-mana pilihan raya di negara ini, spekulasi tentang calon yang akan terpilih dan digugurkan akan kedengaran di mana-mana. Tiada parti yang terkecuali daripada masalah ini.

Apabila pengumuman dibuat dan nama tidak ‘lekat’, mulalah keluar cerita-cerita tidak enak didengar dan berbaur ugutan. Ada yang mahu bertanding sebagai calon bebas atau parti lain, ada yang mahu menutup bilik gerakan dan ada juga yang bertindak keluar parti.

Mereka ini merasakan diri mereka masih diperlukan oleh rakyat dan tidak mahu melihat kelemahan pada diri sendiri. Sangat sedikit yang berterima kasih kepada parti kerana memberi mereka peluang berkhidmat kepada rakyat.

Yang mendukacitakan ialah mereka ini bukan orang baru tetapi ada yang sudah berpuluh tahun berada dalam parti, dah berpenggal-penggal jadi wakil rakyat dan usia pun sudah melangkaui tujuh dekad. Seolah-olah selagi mereka bernyawa, tiada siapa boleh ganti mereka.

Dalam keadaan pengundi semakin terbuka dan bijak membuat pilihan manakala pengundi muda kini menjadi kumpulan pengundi terbesar, ikhlaslah bertanya diri sendiri kewajaran untuk terus bertanding.

Bukan bermakna mereka tidak kompeten tetapi mungkin sudah tiba masa untuk memberi peluang kepada orang muda merasai pengalaman yang pernah mereka lalui, selain menyediakan pemimpin pelapis untuk parti dan negara.

Negara kita sangat memerlukan pemimpin baharu dengan pemikiran baharu untuk melonjakkan lagi kemajuan negara. Kita sebenarnya sudah ketinggalan berbanding negara lain termasuk negara-negara jiran.

Kadar gaji rakyat masih rendah. Bayangkan, dalam tempoh 30 tahun, kadar gaji dalam kebanyakan sektor pekerjaan hanya naik 100 peratus. Majikan tidak mampu menawarkan gaji lebih tinggi kerana ekonomi negara secara keseluruhannya berkembang agak perlahan.

Mungkin orang lama dalam politik tidak merasai semua kepayahan ini kerana mereka sudah lama hidup senang. Justeru, kalau tidak tercalon, cukup-cukuplah. Kalau mahu terus berbakti, banyak cara lain.

Paling penting, usah sabotaj parti yang menaikkan kita selama ini. Kisah Saidina Khalid al Walid, panglima perang tersohor dalam sejarah Islam yang juga dikenali sebagai ‘Pedang Allah’ boleh dijadikan iktibar.

Tokoh hebat yang mendapat kepercayaan yang tinggi dalam kalangan umat Islam pada zamannya tidak pernah kecewa atau merajuk, jauh sekali mahu sabotaj walaupun dipecat oleh Saidina Umar al Khattab. Bukan sekali beliau dipecat tetapi dua kali iaitu pada tahun ke 13 Hijrah dan tahun 17 Hijrah.

Dalam kedua-dua peristiwa itu, Khalid dipecat bukan kerana beliau bermasalah tetapi salah satu sebabnya ialah kerana Saidina Umar mahu membetulkan akidah umat Islam bahawa kemenangan Islam dalam peperangan bukan kerana kebolehan dan kehandalan Khalid tetapi kerana bantuan Allah SWT.

Namun, walaupun dipecat, Khalid menerima keputusan itu dengan tenang, tetap taat kepada Saidina Umar sebagai pemimpin dan terus membantu tentera Islam dalam peperangan. Sangat besar pengajaran daripada peristiwa itu.

Siapalah kita berbanding Khalid al Walid. – UTUSAN

  • Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia