Melaka mula memilih antara kaca dan permata - Utusan Malaysia

Melaka mula memilih antara kaca dan permata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini tidak kurang daripada 84 ahli politik akan hadir di tempat penamaan calon bagi menghantar borang untuk bersaing bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada pilihan raya negeri (PRN) 20 November ini.

Tiga gagasan politik utama – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) – akan meletakkan calon-calon masing-masing. Mereka akan menjual impian, harapan dan menabur janji untuk mentadbir serta membangunkan negeri Hang Tuah. Pertembungan tiga penjuru pasti berlaku dalam pilihan raya ini apabila PN meletakkan calon di semua 28 kerusi, sama banyak dengan BN.

BN mengumumkan senarai calonnya pada Sabtu lalu dengan UMNO akan bertarung di 20 kerusi, MCA (tujuh kerusi) dan MIC (satu). PN pula menyenaraikan 15 calon dari Bersatu, Pas (lapan) dan Gerakan (lima) manakala PH menampilkan 11 calon dari PKR, DAP (lapan) dan Amanah (sembilan).

Apa yang pasti, persaingan tiga penjuru di kalangan tiga parti mewakili orang Melayu – UMNO, Bersatu dan Pas – dan kerajaan Melayu-Islam yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH di peringkat pusat lebih dua tahun lalu seperti sudah berkubur tanpa nesan.

Walaupun ada ahli politik cuba menanam tebu di tepi bibir, Pas secara terang menyatakan sokongan kepada Bersatu. Ahli parti itu diminta mengundi calon PN sekiranya bertembung dengan calon UMNO.

UMNO pula dari awal menyatakan kesediaan bergerak solo. Bersatu dan UMNO dijangka bertarung di 12 kerusi manakala Pas akan bertarung di tujuh kerusi.

Apa yang menarik dalam PRN ini adalah ia akan mengukur sejauh mana kredibiliti dan penerimaan masyarakat terhadap Bersatu tanpa UMNO. Harus diingat, kejayaan Bersatu di Sabah disebabkan tiada pertembungan dengan UMNO selain sokongan parti lain.

Jadi, ia akan menjadi acid test kepada Bersatu. PH yang menakluki negeri ini ketika PRU14 dijangka masih kukuh terutama kerusi dimenangi DAP. Mungkin diletakkan tunggul sekalipun sebagai calon, parti itu akan menang di kubu kuatnya.

Dua faktor yang mungkin menjejaskan peluang PH – ketiadaan kebencian 1MDB dan perompak wang negara serta jumlah pengundi rendah. Adakah pengundi di luar Melaka akan kembali seperti PRU14, memenuhi perhimpunan politik dan bersemangat menjatuhkan kerajaan kleptokrat?

UMNO pula masih diselubungi awan hitam lampau. Ahli politik berhadapan perbicaraan serta beberapa kumpulan berbeza dengan agenda tertentu. Ini mudah dilihat dengan ketiadaan beberapa pemimpin ketika pengumuman calon UMNO. Bagaimanapun parti itu cuba memulakan penjenamaan semula dengan meletakkan lebih 80 peratus calon baharu. Itu langkah berani kerana calon selalu dianggap sebagai `hak kelahiran’ ketua bahagian macam surat beranak.

Berdasarkan situasi semasa, kebimbangan Covid-19, halangan berkempen, jumlah yang keluar mengundi rendah dan mengambil kira jumlah kemenangan kurang 1,000 undi pada Mei 2018, tiada pakatan yang secara terang berada di hadapan.

Walau apa pun keputusan kelak, ia kemenangan untuk demokrasi berbanding Covid-19. Kemenangan manusia berbanding cubaan alam. Semoga ADUN yang berjaya kelak akan meraikan demokrasi, menghormati kepercayaan pengundi dan menjulang maksud berkhidmat untuk rakyat.

Itu makna sebenar demokrasi. Bukan lompat di mana ada air.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.