MCO sepenuhnya akan ‘bunuh’ banyak perniagaan - Utusan Malaysia

MCO sepenuhnya akan ‘bunuh’ banyak perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENIAGA jeruk di Pasar Chowrasta, di Penang Road mengeluh mengenai kekurangan pelanggan. “Cerita MCO sahaja orang sudah lari. Ramai takut tersangkut di Penang,” kata peniaga itu.

Di kawasan makan Gurney Drive, auntie berusia lebih 60-an mula menyimpan tin minuman untuk menutup gerai jam 9.30 malam. Ini Gurney Drive yang sentiasa sibuk dengan pelanggan yang gilakan laksa, pasembor, mee udang dan sotong bakar.

Cakap-cakap mengenai perintah kawalan pergerakan (MCO) sejak minggu lalu menggusarkan sebahagian besar rakyat negara ini. Peningkatan kes Covid-19 yang melepasi paras 3,000 kes menguatkan hujah perlunya tindakan lebih keras oleh kerajaan.
Unjuran bahawa kes Covid-19 akan meningkat kepada 8,000 kes sehari menjelang Mac mula menjadi tular. Ketika Covid-19 melanda dulu, unjuran sama dibuat tetapi jauh tersasar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan langkah-langkah lebih ketat untuk membendung penularan pandemik yang meragut lebih 500 nyawa di Malaysia dan 1.92 juta di seluruh dunia hari ini.

Di Eropah dan negara yang mengalami musim sejuk, Covid-19 kembali menghantui masyarakat dengan beberapa negara kembali kepada lockdown terutama di bandaraya-bandaraya besar.

Semua pihak bersetuju tindakan lebih ketat perlu bagi membendung Covid-19. Cuma persoalannya sejauh mana MCO atau PKP itu akan dilaksanakan dan kesannya kepada ekonomi.

Ketika lockdown pertama diadakan pada Mac tahun lalu dan bulan-bulan seterusnya, ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua. Perbelanjaan dalam negara, yang menjadi enjin pertumbuhan ekonomi, menguncup kira-kira 27 peratus. Jumlah pengangguran meningkat ke tahap tertinggi dalam sejarah.

Walaupun angka rasmi sukar ditentukan, lebih 100,000 kehilangan pekerjaan. Jika berdasarkan permohonan i-Sinar, 2.5 juta permohonan diluluskan, menunjukkan sejak Mac tahun lalu, itu jumlah mereka yang terkesan.

Negara secara keseluruhan terkesan. Perbandingan mudah ialah nilai ekonomi negara. Pada 2019, keluaran negara kasar Malaysia ialah AS$364.7 bilion (RM1.45 trilion), tertinggi dalam sejarah. Bagi 2020, akibat pandemik Covid-19, diunjurkan ekonomi negara bernilai AS$333 bilion, penurunan AS$33 bilion atau RM124 bilion.

Jika lockdown sepenuhnya dilaksanakan, ekonomi Malaysia akan sekali lagi terjerumus kepada kemelesetan. Banyak perniagaan yang baru kembali bernyawa akan terkesan sekali lagi.

Banyak perniagaan tidak mempunyai kantung bottomless untuk terus membiayai perniagaan. Terdapat kira-kira tujuh hingga 10 juta pekerja sektor swasta dan mereka akan terkesan sekali lagi jika lockdown menyeluruh dilaksanakan. Realitinya, perniagaan akan terkesan dan mungkin kali ini banyak yang mungkin tidak mampu kembali langsung dan terus terkubur.

Pihak berkuasa perlu menimbang semua ini kerana lockdown penuh hanya akan meranapkan ekonomi dan menghancurkan ribuan perniagaan, sesuatu yang harus dielakkan

 

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya