Masa untuk ubah kurikulum memandu

Masa untuk ubah kurikulum memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMLAH kemalangan jalan raya sudah mencapai tahap membimbangkan. Berdasarkan perangkaan, 6,581 kes kematian di jalan raya direkodkan di Malaysia sepanjang 2025. Ini bermakna antara 10 hingga 15 rakyat negara ini mati di jalan raya setiap hari. Daripada jumlah itu, seramai 4,267 penunggang motosikal maut sepanjang 2025.

Secara kasar, dianggarkan kira-kira 6,000 orang mati setiap tahun ketika memandu atau menaiki motosikal. Daripada angka itu, kira-kira 90 peratus daripada 6,000 yang maut dilaporkan berusia 30 tahun ke bawah. Malaysia kehilangan rakyat yang belum sempat mencapai potensi.

Keluarga kehilangan anak-anak yang nyawa mereka diambil terlalu awal sebelum dapat berbakti kepada keluarga. Terlalu ramai ibu bapa menyemadikan anak mereka akibat kemalangan. Ketentuan Allah dan ajal tidak dapat dihentikan.

Tetapi pada masa sama, kalau dilihat berdasarkan perangkaan, sesuatu harus dilakukan untuk mengurangkan kemala­ngan maut. Keadaan jalan raya mungkin penyebab. Sebahagian besar jalan raya adalah elok dan dibina dengan standard tertentu. Malah kebanyakan jalan raya dan lebuh raya dibina mengikut standard antarabangsa.

Menepati standard tidak menjamin jalan itu selamat. Bila kali terakhir anda melihat kereta kompak dipandu lebih 170km/j di lebuh raya. Selain motosikal, pihak berkuasa mesti mempunyai data jenis kereta – besar atau kompak – yang paling banyak membabitkan kemalangan maut.

Bukankah pemandu baharu juga harus diajar bahawa bukan semua kereta direka untuk memandu pada kelajuan sehingga 180km/j serta dapat berhenti pada jarak 50 meter. Bukan semua kereta ada ciri menghalang tergelincir ketika mengambil selekoh atau menurunkan kelajuan secara automatik apabila tergelincir.

Kita harus sedar banyak kereta yang dijual di negara ini tidak akan dibenarkan berada di jalan raya di Eropah. Di benua itu setiap kereta baharu harus mematuhi ciri-ciri keselamatan mandatori. Semua kereta baharu mesti mempunyai “Autonomous Emergency Braking (AEB)”, amaran kelajuan atau memaksa pemandu daripada memandu laju, mengesan dan membetulkan gelinciran secara automatik apabila kereta hilang kawalan di selekoh atau jalan licin, memberitahu apabila pemandu mengantuk atau khayal, dan membuat panggilan kecemasan secara automatik dan memberitahu lokasi berdasarkan kedudukan GPS apabila kemalangan.

Dengan semua ciri-ciri ini, banyak kereta yang dijual di negara ini tidak akan bermimpi akan berada di jalan raya di Eropah. Ya, semua ciri-ciri keselamatan ini akan menjadikan kereta lebih mahal.

Pengeluar kereta tidak akan suka. Kerajaan juga tidak akan menetapkan semua ciri-ciri ini dalam setiap kenderaan kerana akan menjadikan kereta lebih mahal.

Tetapi kurikulum memandu harus menekankan cara pemanduan selamat. Pada kelajuan 170k/j apabila dibrek, kereta moden memerlukan antara 200-260 meter sebelum berhenti sepenuhnya. Pemandu baharu harus disedarkan tidak semua kereta sama. Kereta kompak tidak dibina untuk beraksi seperti kereta formula 1 dan boleh mengambil selekoh pada kelajuan lebih 130km/j pada hari hujan.

Mereka harus disedarkan kereta kompak hanya menggunakan cakera brek bersaiz 250 mm sedangkan kereta seperti Ferrari mempunyai saiz cakera brek sehingga 408mm untuk membolehkan ia dibrek berkesan. Saiz cakera menentukan keupayaan membrek.

Satu-satunya cara dapat mengurangkan kematian di jalan raya ialah mengajar semua pemandu baharu semua perkara ini. Jika mereka melepasi tahap tertentu dalam pemanduan, besar kemungkinan mereka akan menemui pencipta kerana kenderaan mereka tidak pernah direka untuk pemanduan seperti itu.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd UTUSAN