Masa untuk merombak pengurusan BAM? - Utusan Malaysia

Masa untuk merombak pengurusan BAM?

KITA ada lebih kurang 540 hari menuju ke Sukan Olimpik Pa­ris 2024. Sasaran kita kali ini adalah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas. Harapan untuk membawa pulang emas pertama itu hanya terletak pada tiga sukan iaitu berbasikal, terjun dan badminton.

Untuk berbasikal, sekali lagi ia diletakkan pada bahu Azizul Hasni Awang yang berjaya menukar warna gangsa di Rio pada 2016 kepada Perak di Tokyo pada 2020. Diharapkan pada Olim­pik Paris tahun depan ia akan berubah menjadi emas.

Selepas berbasikal, acara terjun juga menjadi taruhan untuk emas pertama itu. Setakat ini terjun telah menyumbangkan satu perak dan satu gangsa. Gangsa oleh Pandelela Rinong di Olimpik London 2012, perak pula gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong di Rio 2016.

Sukan yang paling banyak menyumbang pingat Olimpik kepada negara adalah badminton. Dari 13 pingat Sukan Olim­pik yang dimenangi Malaysia, lapan disumbangkan oleh badminton.

Bermula dengan pencapaian Razif dan Jailani Sidek yang membawa pulang gangsa dari Barcelona pada 1992, Lee Chong Wei menjadi penyumbang terbanyak dengan menang tiga pingat perak iaitu di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016. Selain itu pasangan beregu Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock juga menang perak pada 1996 selain Rashid Sidek menang gangsa di tahun sama.

Tahun 2016 adalah tahun cemerlang untuk badminton negara apabila membawa pulang tiga pingat perak. Selain Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem dan Tan Wee Keong serta beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Lui Ying juga menang perak. Di Tokyo badminton hanya membawa pulang satu pingat gangsa melalui beregu lelaki Soh Wooi Yik dan Aaron Chia.

Jika dilihat perkembangan terkini sukan badminton negara, sasaran untuk emas agak mustahil. Pencapaian pemain kita di pentas antarabangsa langsung konsisten. Prestasi pemain lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia semakin membimbangkan apabila tersingkir awal dalam tiga kejohanan besar berturut-turut.

Prestasi pemain lain juga seperti yoyo, hingga kehadiran pemain kita di pertandingan besar sudah tidak digeruni. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan sesuatu yang drastik jika mereka mahu terus kekal sebagai penyumbang pingat olimpik kepada negara.

Dalam keadaan sekarang BAM seperti hilang arah dan fokus dalam usaha melahirkan kembali jaguh badminton bertaraf dunia. Hendak dikatakan tenaga kejurulatihan kurang berkualiti, para jurulatih kita menjadi buruan persatuan badminton dari seluruh dunia.

Mungkin kini masa untuk semua pihak melihat dalam pengurusan BAM itu sendiri. Mungkin perlu ada perubahan dalam pengurusan terutama mereka yang sudah terlalu lama di tampuk kuasa BAM atau yang menjadi duri dalam daging kepada usaha mengekalkan kecemerlangan badminton negara.

Elakkan pemimpin sukan memegang dua jawatan serentak kerana boleh hilang fokus dan mencetuskan konflik kepentingan. Dalam hal ini kepentingan mengembalikan kecemerlangan badminton negara dan menjaya misi membawa pulang emas Olimpik lebih besar daripada kepentingan individu.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia