Masa untuk delete MySejahtera - Utusan Malaysia

Masa untuk delete MySejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azlan mindaAPLIKASI MySejahtera menjadi tumpuan ketika ini. Ia bukan mengenai sama ada ia berkesan atau tidak. Atau sama ada aplikasi itu masih relevan ketika negara memasuki fasa endemik.

Perebutan kini mengenai hak terhadap aplikasi yang pada mulanya diberikan mandat pembangunannya kepada KPISoft Malaysia Sdn. Bhd. (KPISoft) yang melaksanakan pembangunannya secara percuma.

Semuanya nampak senang dan mudah serta tanpa kos atas nama khidmat sosial. Ia menjadi kelam kabut apabila KPISoft menjadi Entomo Malaysia Sdn. Bhd. (Entomo). Hak intelek MySejahtera telah disewa kepada MySejahtera Malaysia Sdn. Bhd. (MySJ) pada harga RM338.6 juta sehingga akhir 2025.

Sekarang, Kementerian Kesihatan mahu membeli hak aplikasi yang sebelum ini dianggap dibina secara percuma untuk kerajaan. Ia seperti Tipah tertipu.

Beberapa nama korporat besar dan individu yang berkaitan parti politik menjadi pengarah dalam MySJ seperti didedah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Tumpuan sekarang ialah mengenai pemberian kontrak secara rundingan terus kepada MySJ Sdn. Bhd. oleh kerajaan pada November 2021 dan status rundingan kerajaan dengan syarikat itu.

Siasatan juga bagi mengetahui sama ada ada pihak membuat duit ‘atas angin’ serta keselamatan negara berikutan dakwaan pembabitan syarikat Singapura.

Ini kerana ada 38 juta data rakyat dan mereka yang tinggal di Malaysia dalam pangkalan data aplikasi itu.

Keadaan ini seperti apabila syarikat Singapura Parkway Hol­dings Ltd. membeli 31 peratus kepentingan dalam hospital Malaysia Pantai Holdings Bhd. pada harga RM312 juta pada 2005.

Apa menim­bulkan kebimbangan ketika itu, Pantai mempunyai kepentingan dalam Pantai Medivest yang diberikan konsesi khidmat sokongan hospital awam di tiga negeri selama 15 tahun.

Pantai juga memiliki 75 peratus kepentingan dalam Fomema Sdn. Bhd. yang diberikan konsesi pemeriksaan pekerja asing selama 15 tahun. Kira-kira 1.2 juta pekerja asing dan data mereka diuruskan Fomema.

Ketika itu tibalah hulubalang berkuda putih bernama Khazanah yang akhirnya membeli kepentingan dalam Pantai dan syarikat Singapura Parkway.

Ketika itu Khazanah menegaskan pengambilalihan itu Parkway dan Khazanah komited mematuhi semua peraturan dan polisi berkaitan konsesi aset dan pemilikan Bumiputera.

Tetapi harga yang dibayar bagi mengembalikan penguasaan Pantai kepada negara dan memastikan pematuhan konsesi adalah mahal. Syarikat Singapura itu merebut peluang dan menguasai Pantai dan tahu jika ada pihak mahu semula saham itu, mereka perlu membayar harga yang mahal. Itu perniagaan bijak.

Sekarang MySejahtera berada pada situasi hampir sama. Apa yang menjadikan MySejahtera sangat berharga adalah datanya. Maklumat 38 juta data pengguna dan kira-kira 80 juta check in setiap hari perjalanan pengguna MySejahtera.

Tiada pihak ada data sebanyak itu kecuali jabatan pendaftaran negara. Ia tahu setiap pergerakan kita apabila ditekan check in.

Pemilik aplikasi itu menggunakan data itu untuk tujuan pemasaran iklan atau memantau pergerakan seseorang. Itu sahaja menjadikan MySejahtera ‘king’ sangat bernilai.

Pemilik intelek tahu nilai aplikasi itu dan tidak akan berganjak atau menjualnya pada harga kedai pakaian bundle. Kita tidak perlukan aplikasi yang tahu setiap kali kita keluar dari rumah.

Tiba masanya kita membuang “MySejahtera” ke dalam trash bin dan delete daripada kehidupan kita selama-lamanya.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya