BENCANA banjir di Lembah Klang telah lebih 10 hari. Di kebanyakan tempat keadaan telah mula pulih. Air telah surut. Paras sungai kembali ke paras biasa. Sejak lebih seminggu lalu tiada kejadian hujan berterusan. Tetapi kegusaran tetap dirasakan apabila hujan. Penduduk masih trauma dan hidup dalam ketakutan.
Kejadian banjir kilat bermula 18 Disember lalu masih segar di ingatan bukan sahaja di kalangan mangsa tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Banjir itu memang mengejutkan tetapi kemusnahan selepas air surut lebih menyayat hati. Apabila penduduk mula mengeluarkan semua perkakasan dan peralatan yang digenangi air, apa yang dilihat hanya deretan kemusnahan seperti tiada akhirnya.
Kira-kira 50,000 kenderaan ditenggelami air. Puluhan ribu rumah, premis perniagaan dan kilang diratah kuasa alam. Mesin, jentera dan barangan tidak lagi berguna. Kerugian keseluruhan termasuk kehilangan harta benda, kehilangan perkhidmatan dan penutupan kilang akan mengatasi RM1 bilion.
Sepanjang tempoh ini pihak berkuasa mengesahkan beberapa perkara. Ada kelemahan dalam operasi menyelamat, tiada sistem amaran, kurang penyelarasan antara agensi serta kepadatan penduduk menyukarkan usaha bantuan.
Tetapi Shah Alam sememangnya dari dahulu daerah yang padat penduduk dan bukan berlaku semalam.
Lembah Klang dianggarkan ada lapan juta penghuni, 6.25 kali ganda daripada Terengganu dan empat kali ganda daripada Kelantan. Menyuruh Twitter memadam keluhan rakyat bukan caranya menutup malapetaka ini.
Dalam kegawatan “Tragedi 18 Disember” ramai tidak menyedari Kuala Lumpur terselamat. Ramai lupa kawasan kewangan dan ekonomi utama negara sering diancam bah. Dua sungai – Sungai Gombak dan Sungai Klang – bertemu di tengah Kuala Lumpur. Kali ini tiada laporan banjir buruk.
Terowong bijak atau Smart Tunnel menyelamatkan Kuala Lumpur. Terowong dwifungsi sepanjang 9.7 km telah menyedut lima juta meter padu air, rekod baharu untuk terowong itu.
Jumlah air itu boleh mengisi 2,000 kolam renang bersaiz Olimpik. Kalau dibotolkan bekas air mineral satu liter, ia dapat menghilangkan dahaga lima bilion penduduk atau hampir dua pertiga penduduk bumi.
Pihak berkuasa kini harus memikirkan penyelesaian seperti terowong bawah tanah bagi menyalurkan air berlebihan kerana tiada lagi ruang di atas bumi Lembah Klang. Terowong boleh ditebuk mengikut aliran sungai utama dan berakhir di laut. Kalau bijak, diletak beberapa turbin yang dapat menggunakan kekuatan arus bagi menjana elektrik seperti empangan hidro.
Kota London dengan sembilan juta penghuni sedang membina Terowong Thames Tideway sepanjang 25km. Terowong dikorek pada kedalaman 75 meter, sebahagian besar di bawah Sungai Thames.
Kini tiba masanya pihak berkuasa memikirkan penyelesaian sama. Tiada guna memberi alasan. Malaysia telah melaksanakan penyelesaian kepada masalah banjir untuk Kuala Lumpur pada 2007.
Kita tidak perlu mencipta semula roda. Ia tetap bulat di mana sahaja. Terdapat kebenaran kepada pepatah adalah gelap di bawah pelita tetapi gelap lagi kepada mereka yang tidak mahu berfikir.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Masa untuk bina terowong ‘Smart’ di Selangor

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved