Masa tunai janji, jangan jadi munafik

Masa tunai janji, jangan jadi munafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahniah kepada semua calon tanpa mengira parti, yang menang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu lalu. Terima kasih juga diucapkan kepada lebih 1.8 juta daripada 2.7 juta pengundi warga Johor yang keluar mengundi. Anda telah menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin dan kini tiba masanya untuk menuntut segala janji dan manifesto parti daripada wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Kalau sewaktu berkempen segala janji manis ditabur, segala perancangan dicanang dan akan dilaksanakan oleh calon jika dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan yang ditandingi, maka sekarang rakyat atau pengundi kini menunggu apakah janji manis dan segala perancangan itu akan diterjemahkan menjadi realiti, atau hanya sekadar fantasi.

Rakyat amat berharap wakil rakyat yang dipilih mengotakan apa yang dijanjikan sewaktu berkempen dan segala manifesto parti. Rakyat juga mahu agar semua masalah yang berbangkit di kampung-kampung atau bandar-bandar kecil diselesaikan segera mungkin. Masalah yang melibatkan jalan, sistem perparitan dan infrastruktur harus diberi keutamaan selain menyelami masalah kehidupan rakyat miskin.

Semua wakil rakyat waima dari parti mana pun beliau, harus menunaikan janji. Jangan sekali-kali jadi pemimpin munafik yang hanya pandai berjanji tetapi tidak menepatinya. Mandat selama tempoh lima tahun yang diberikan rakyat harus diterjemahkan dengan menyelesaikan sebarang masalah yang dibawa oleh rakyat.

Jangan pula nanti selepas menang, begitu susah pula rakyat hendak bertemu wakil rakyatnya. Jarang ada di kawasan tetapi kerap berada di Kuala Lumpur atau keluar negara kerana urusan bisnes. Masalah rakyat tidak dipedulikan. Hanya menghantar wakil sebagai syarat.

Bagi memastikan semua Ahli Yang Berhormat buat kerja dan peduli masalah rakyat, ketua kerajaan harus mewujudkan garis panduan seperti Pengukur Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) kepada semua wakil rakyat. KPI memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan seseorang pemimpin, selain membantu menilai prestasi wakil rakyat di setiap kawasan. Cara ini dilihat lebih berkesan dan mana-mana wakil rakyat yang gagal mencapai KPI harus ada tindakan dikenakan terhadapnya.

Apabila dilantik sebagai wakil rakyat, berlaku jujurlah kepada rakyat dan jadilah pemimpin yang adil. Ketepikan kepentingan diri dan utamakan kepentingan rakyat. Harus ada rasa takut dan malu untuk menghadap Allah SWT dan Rasulullah SAW di akhirat nanti jika kita sebagai pemimpin gagal menjalankan tanggungjawab. Jangan pernah sekali mengutamakan kehidupan dunia dengan melakukan penyelewengan dan rasuah.

Ingatlah akan firman Allah STW dalam al-Quran Surah Asy-Syura, ayat 20 yang bermaksud: “Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat.”

Imran Mohamad Nor, Pengarang Berita Utusan Malaysia