Mana cahaya di hujung terowong? - Utusan Malaysia

Mana cahaya di hujung terowong?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH adakah cahaya di hujung terowong? Saya tidak nampak. Anda nampak? Kalau ada pun agaknya ia sekejap saja. Sudah hilang. Tak sempat dipandang dan terowong kembali gelap.

Saya bukan berfikiran ne­ga­tif. Tetapi kita tak boleh setakat mahu menyedapkan hati sendiri dan semua orang dengan sesuatu yang bersifat sementara atau cakap-cakap saja.

Kini kes Covid-19 harian negara kita sudah melepasi 23,000. Setiap hari ratusan yang meninggal dunia. Lebih 13,000 kematian telah dicatatkan.

Pada saya, kalau kes Covid-19 menurun dengan konsisten, barulah boleh cerita pasal terang gelap. Bukan sebab sudah tidak ramai dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti sebelum ini, sudah cakap pasal terowong dan cahaya.

Kita semua maklum pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 kini hanya menjalani kuarantin di rumah dan yang meninggal dunia di luar hospital pula semakin meningkat. Khamis lalu daripada 178 kes kematian, 35 daripadanya meninggal di luar hospital atau di rumah.

Kategori 1 dan 2, boleh saja melarat ke kategori seterusnya. Ini bukan demam biasa. Semuanya boleh jadi di luar jangkaan. Di ICU tidak ramai pesakit, tetapi di rumah ramai pesakit. Apakah itu cahaya yang dimaksudkan?

Memang sudah habis kata-kata untuk bercakap tentang jahat dan bahayanya Covid-19 ini. Ia bukan saja meragut nyawa tetapi merentap kebahagiaan dan kebebasan kita semua.

Ya, bosan betul asyik bercerita pasal Covid-19. Tapi dapatkah kita mengelak daripada bercakap tentangnya? Dan kelmarin, Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengingatkan, bila kebanyakan sektor telah dibuka semula, ia adalah langkah untuk selamatkan ekonomi rakyat dan negara, bukan negara ini sudah selamat daripada Covid-19.

Tetapi itulah, selepas pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin bahawa negeri yang berada di Fasa 1 yang penduduknya sudah lengkap dua dos dengan tempoh dua minggu selepas dos kedua, ramai yang seronok sangat bila dapat dine in.

Diberi pula kebenaran bawa anak-anak bawah usia 17 tahun, berkelah dan beriadah. Ingat, sebelum ini yang bising-bising risau anak dijangkiti Covid-19 bila sekolah akan dibuka, ibu bapa jugalah. Tetapi bila bab bawa anak-anak ke pusat beli-belah, makan-makan, ke taman rekreasi, hilang pula segala kebimbangan.

Jadi, betullah tiada apa yang kita capai daripada se­gala PKP dan PKPD yang dilaksanakan sebelum ini kerana adanya kelonggaran demi kelonggaran, yang akhirnya diri sendiri juga yang perlu mengingatkan diri dan keluarga agar menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Apa pun kita memang tidak boleh terperuk di rumah. Semua boleh jadi stres termasuk anak-anak. Dikatakan juga kes perceraian di negara ini meningkat di kala semua orang duduk rumah. Tak ada kerja. Duduk rumah, ada yang kerjanya cari gaduh sajalah.

Maka jagalah SOP. Yang demam jangan datang kerja atau makan di luar selagi tidak buat swab test. Disebabkan sikap tidak kisah ini, bila disahkan demam itu Covid-19, habis satu tempat kerja dijangkiti. Yang belum divaksin, segeralah mendapatkan vaksin dengan harapan jika dijangkiti, ia tidak teruk ke kategori 3,4 dan 5.

Ini yang kita perlu hadap apabila di sekeliling kita Covid-19 sudah tidak dapat dikawal. Sekali lagi saya bukan berfikiran negatif. Ya, tidak terkawal, kita sudah melepasi 23,000 kes, bukan 200 atau 2,000 lagi. Itu fakta,

Di New Zealand, satu kes Covid-19 saja, pemerintahnya telah mengarahkan total lockdown. Kita pula sudah lama berkurung di rumah tetapi sebenarnya masih banyak kelonggaran. Sebab itu, semuanya macam tak habis-habis.

Tetapi biasalah, ramai yang akan buat bising bila kerajaan mahu buat total lockdown kerana ia menjejaskan ekonomi rumah dan negara. Ramai yang sudah hilang kerja dengan PKP dan PKPD yang kita lalui.

Apa jalan selesai? Tak akan dengan hanya menukar Perdana Menteri, akan berla­ku magis. Akhirnya, jalan selesai yang kita nampak jaga SOP saja. Itu saja rupanya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.