Maksiat: Panggung wayang tidak berdosa - Utusan Malaysia

Maksiat: Panggung wayang tidak berdosa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Heboh minggu ini isu Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, 42, ke Kuala Lumpur untuk menonton filem Mat Kilau.
Apa tidaknya, kerajaan Kelantan sudah 20 tahun tidak membenarkan operasi panggung wayang di negeri itu.

Puncanya kerana Pas berpendapat panggung wayang boleh membawa maksiat dan pelbagai kesan buruk lain. Justeru, untuk meng­operasikan panggung wayang, operatornya perlu benar-benar memenuhi syarat kerajaan negeri itu.

Antaranya, pisahkan tempat duduk lelaki dan perempuan, hanya wayang patuh syariah boleh ditayang, tiada tayangan pada waktu solat dan Ramadan.

Kerana syarat-syarat tersebut sehingga kini tiada mana-mana operator sanggup mencuba nasib membuka panggung.
Namun, apabila tindakan Ketua Pemuda Pas dan beberapa pengikutnya sanggup ke ibu negara semata-mata untuk menonton wayang, sudah tentu ia mengelirukan apa sebenarnya perjuangan Pas berkaitan panggung wayang.

Lebih memeningkan apabila netizen mendakwa salah seorang yang mencari panggung wayang di ibu negara itu pernah menentang tegar rancangan membuka sebuah panggung di negeri Cik Siti Wan Kembang sekitar 2016.
Susulan itu, sejak Khamis lalu, puak-puak yang tidak mesra Pas terus menerus memulangkan paku buah keras kepada parti itu.

Penjelasan Pas bahawa sepanjang Fadhli menonton beliau duduk tanpa bercampur dengan perempuan kerana membeli 20 kerusi turut jadi bahan gelak.

Mereka mempersoalkan, selepas kerusi 20 atau sebelah-­menyebelah dari kerusi yang ditempah adakah semua lelaki?
Hakikatnya Pas selama ini menutup panggung kerana terlalu yakin bahawa premis itu mencetuskan maksiat. Namun, apa sudah jadi apabila rahsia Ketua Pemuda parti itu sendiri lari ke negeri lain cari panggung wayang.

Sebagai Ketua Pemuda Pas dan gengnya, mereka patut lebih arif akan hukum-hakam operasi panggung di ibu negara yang sudah tentu jurang pengoperasian terlalu besar dengan apa yang dikehendaki Pas.

Panggung di ibu negara tidak mengira waktu atau bulan untuk menayangkan filem-filem yang memasuki pawagan. Lebih daripada itu pawangan tersebut tidak peduli siapa pelanggan mereka, asal ada duit beli tiket dan silalah menonton.

Jadi, bila timbul kontroversi sebegini, Pas khususnya peringkat pemimpin harus berlapang dada dan menerima hakikat bahawa pawagam tidak semestinya tempat haram mahupun mencetuskan maksiat.

Maksiat atau apa sekali perbuatan yang tidak selari dengan tuntutan apa agama sekalipun adalah lebih kepada diri masing-masing.

Jika diri individu itu kuat, campaklah ke mana sekali pun, tidak tercalar syariah dalam diri seseorang itu.
Namun jika setakat berada di panggung, iman atau kehendak nafsu boleh tergugat, itu bermakna bukan salah panggung wayang tetapi salah individu sendiri dan maksiat boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Jadi isu Ketua Pemuda Pas masuk panggung sepatutnya menjadi titik tolak untuk Pas menilai semula permusuhan parti itu de­ngan panggung wayang. Ada yang berpendapat daripada haramkan panggung sepatutnya Pas haramkan Netflix.

Pas juga patut menilai balik, sejak ketiadaan panggung di Kelantan, apa kelebihan direkodkan berbanding negeri yang membiarkan operasi panggung wayang.Contoh adakah masalah sosial di negeri itu terutama kes rogol, sumbang mahram dan penagihan dadah menunjukkan indeksnya lebih baik berbanding negeri lain?

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia