Makna kedaulatan ‘big brother’, ‘small brother’ - Utusan Malaysia

Makna kedaulatan ‘big brother’, ‘small brother’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PA-apa yang dituturkan dalam majlis diplomatik, semuanya diambil kira oleh negara tuan rumah. Rujukan itu boleh digunakan oleh semua pihak bagi mencerminkan tahap, kualiti dan makna dalam ucapan seseorang duta atau menteri luar.

Menggunakan ungkapan big brother terhadap China sekali gus meletakkan Malaysia di tahap small brother atau adik kecil atau ganti nama merendah diri.

Sebagai negara merdeka dan berdaulat, menteri tidak perlu merendah diri dengan pengakuan sedemikian. Lihat Singapura, Cyprus, Sri Lanka, Monaco dan lain-lain negara kecil pun tak pernah guna terma big brother terhadap sesebuah negara besar dan berkuasa. Ada banyak cara lain yang boleh diguna bagi tahap apapun dalam dunia diplomasi antara dua negara.

Bercakap pasal karektor menteri luar, saya teringat dua daripadanya yang ‘seangkatan’ dengan kerjaya kewartawanan saya iaitu Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Anifah Aman.

Rais, menteri luar sebanyak dua kali dari 1986-1987 dan 2008-2009, mengutamakan struktur dan asas diplomasi melalui latihan intensif. Misalnya semasa mengetuai portfolio itu, seseorang diplomat yang bahasa Inggerisnya lemah, tidak dihantar beliau ke negara-negara yang berasaskan bahasa Inggeris seperti United Kingdom dan Amerika.

Semua diplomat wajib melalui kursus penyesuaian. Contohnya yang ke negara-negara Arab wajib menguasai budaya Asia Barat selain berkebolehan dalam bahasa Arab, lancar sifir Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab.

Anifah (2009-2018) pula dalam mengendalikan sesuatu isu antarabangsa akan membuat hubungan interpersonal terlebih dahulu. Berjumpa dahulu menteri sesama menteri dengan minum kopi, teh. Misalnya beliau dengan Menteri Luar Singapura George Yeo sekitar 2010 setiap minggu ada perbincangan.

Bila sudah buntu, baru kedua-duanya pergi ke peringkat tinggi antara sesama Perdana Menteri. Dan terbaik dikhususkan macam Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina mesti ada hubungan istimewa hingga ‘angkat gagang telefon’ bercakap.

Perkara penting lain adalah melatih para duta kita dalam bidang bahasa Inggeris aras tertinggi. Dulu-dulu Malaysia terkenal sebab kebolehan menteri luar kita beretorik, berhujah dan melapor menerusi bahasa Inggeris. Ini sampai kita dihormati oleh Washington.

Trend dihormati ini perlu dikembalikan. Saya maklum ada yang handal, tapi perlu ada barisan hebat pemimpin, pemidato, pelapor, communicator serta mereka yang boleh buat rumusan dengan daya fikir tinggi dan diplomasinya.

Dan perkara utama lagi ialah dalam ASEAN, kita mesti berani bercakap. Pernah terjadi apabila umat Islam Rohingya disiksa, ASEAN diam terus. ASEAN hanya jadi mulut diplomasi tanpa gigi.

Bila timbul isu big brother, teringat kita pada bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Selok belok diplomasi diajar di Institut Latihan Wisma Putra di situ.

Waima apa pun, imej negara perlu berada di tahap tertinggi nilainya. Ia mesti dijulang, dijaga melalui kata-kata dan lenggok dasar luarnya.

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia
dan Mingguan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya