Main gajet boleh, tetapi ke sekolah tidak boleh?

Main gajet boleh, tetapi ke sekolah tidak boleh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJORITI ibu bapa zaman moden ini menggunakan gajet untuk ‘mendiamkan’ anak-anak mereka. Apabila sikecil sibuk dengan gajetnya maka aman sikit ibu bapa untuk makan atau berbuat kerja lain.

Walaupun pakar kanak-kanak dan psikologi mengatakan tidak sesuai membiarkan anak bermain dengan gajet pada usia muda, tetapi siapa yang peduli? Janji ia boleh mencipta ‘ketenangan’.

Yang hairannya pula, apabila kerajaan mengumumkan untuk memulakan persekolahan Tahun
Satu pada usia enam tahun, ramai juga yang membantah.

Pelbagai alasan diberikan untuk membantah cadangan itu terutama bimbang daripada segi kesediaan emosi dan mental. Ramai ibu bapa memberikan alasan bahawa kanak-kanak enam tahun masih belum matang daripada segi emosi.

Katanya, mereka bimbang anak belum mampu mengawal emosi sendiri, menghadapi disiplin sekolah formal dan berpisah lama daripada ibu bapa. Ramai ibu bapa takut sistem persekolahan terlalu akademik, menyebabkan kanak-kanak cepat tertekan, hilang minat belajar, atau mengalami keletihan mental.

Mungkin ibu bapa ini tidak pernah membaca bahawa membenarkan anak-anak bermain gajet pada usia terlalu muda juga boleh memberikan kesan yang sama, kalaupun tidak lebih teruk.

Pensyarah Psikologi Kaunseling, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad pernah berkata, penggunaan peranti elektronik secara berlebihan di usia yang muda boleh menyebabkan kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk memahami isyarat emosi dan komunikasi dengan orang lain akibat kurang terdedah kepada interaksi tatap muka.
Hakikatnya, kanak-kanak mula belajar sejak lahir.

Pada usia tiga tahun, otak mereka berada dalam fasa perkembangan pesat, menyerap bahasa, tingkah laku, dan maklumat daripada persekitaran. Gajet sering diberikan atas alasan ia merangsang pembelajaran awal melalui video, permainan interaktif, dan aplikasi pendidikan.

Namun, penggunaan gajet tanpa kawalan juga mendedahkan kanak-kanak kepada pembelajaran pasif, kurang interaksi sosial, dan kebergantungan kepada rangsangan skrin.

Sebaliknya, kemasukan ke sekolah pada usia enam tahun bukan sekadar soal akademik seperti membaca, menulis dan mengira. Sekolah adalah ruang pembelajaran sosial yang terancang, di mana kanak-kanak belajar disiplin, interaksi rakan sebaya, pengurusan emosi, dan nilai asas kehidupan bermasyarakat.
Kalau di usia tiga atau empat tahun sudah mampu bermain gajet, rasanya pada usia enam tahun kebanyakan kanak-kanak telah mencapai tahap perkembangan kognitif dan emosi yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran.

Kebimbangan bahawa sekolah akan “menekan” kanak-kanak sering berpunca daripada kefahaman yang sempit tentang pendidikan awal. Tekanan bukanlah hasil usia kemasukan ke sekolah, tetapi akibat pendekatan pengajaran. Jika pendidikan dilaksanakan secara holistik—bermain sambil belajar, aktiviti kreatif, dan penekanan kepada perkembangan sahsiah—sekolah pada usia enam tahun bukan satu beban, malah satu keperluan.

Ironinya, gajet yang diberikan pada usia lebih muda jarang dipersoalkan dari sudut kesan jangka panjang, sedangkan pendidikan formal yang dikawal oleh kurikulum dan guru terlatih pula sering dipandang dengan curiga. Ini menunjukkan wujud kekeliruan dalam menentukan keutamaan dalam mendidik anak-anak. – UTUSAN

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.