Lupakan geng antivaksin, segerakan dos penggalak - Utusan Malaysia

Lupakan geng antivaksin, segerakan dos penggalak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tolak vaksin dan antivaksin walaupun ayat berbeza tetapi kesan sama. Sangat tidak boleh faham apabila kumpulan tersebut terus tidak mahu mengikut jejak majoriti yang sudah lengkap divaksinasi.

Sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama menyuntik vaksin Covid-19 pada Februari lalu hingga sekarang belum lagi ada berita penerima vaksin mati atau cacat kesan suntikan vaksin-vaksin yang dibeli kerajaan.

Kesan-kesan ringan seperti demam, penat dan beberapa kes pengsan adalah normal. Kes pengsan selepas menerima vaksin bukan disebabkan vaksin tersebut sebaliknya individu berkenaan terlalu gemuruh melihat jarum atau penerima dalam keadaan penat seperti tidak cukup tidur.

Jadi kenapa sampai begitu sekali kegusaran kelompok berkenaan mengenai vaksin Covid-19. Jika golongan tersebut mahu terus cerewet sedemikian, dipersilakan meneruskan hajat tersebut tetapi mereka perlu menerima hakikat bahawa kelompok tanpa vaksin tidak boleh berkomuniti dengan kelompok sudah divaksin.

Kelompok sudah divaksin takut dengan Covid-19 dan ramai yang kini tertunggu-tunggu untuk segera menerima dos penggalak.

Kelompok majoriti yang yakin dengan vaksin Sinovac, Pfizer dan Astrazeneca tidak mahu merisikokan diri bercampur gaul dengan kumpulan yang belum divaksin kerana takut dengan virus Covid-19.

Bukti Covid-19 adalah wabak bahaya apabila sehingga kini Malaysia telah merekodkan hampir 2.5 juta dijangkiti manakala kematian pula menghampiri angka 30,000.

Namun, sejak Malaysia sudah mencapai imuniti kelompok awal bulan ini, angka jangkitan harian yang sebelum ini berlegar-legar pada 20,000 kes jangkitan sehari kini merudum antara 5,000 dan 7,000 kes sehari.

Begitu juga angka kematian turun mendadak daripada sekitar 300 kematian sehari kepada bawah 100 mangsa sehari.
Melihat kepada trend jangkitan wabak tersebut, semua vaksin yang diberikan terbukti secara saintifik menyelamatkan nyawa rakyat.

Justeru, tolonglah kumpulan yang tidak percaya vaksin agar tidak membuat tuntutan berlebihan untuk mendapat kebebasan sepertimana dinikmati golongan yang sudah lengkap divaksinasi.

Kelompok antivaksin atau tidak mahu divaksin harus memahami konsep demokrasi yang diamalkan Malaysia.
Secara demokrasi vaksin menjadi pilihan ramai jadi golongan yang menerima vaksin harus diberi lebih keistimewaan berbanding golongan menolak.

Kerajaan harus bertegas dengan desakan geng antivaksin dan jika meminjam kata-kata ikon wanita Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz, geng menolak vaksin ini mungkin boleh dikelaskan sebagai kumpulan ‘minda bengkok’.

Mereka ini sebenarnya membayangkan perkara-perkara yang sebenarnya tidak ada tetapi cuba memaksakan kepercayaannya kepada orang lain.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya