Letak jawatan untuk puaskan hati siapa?

Letak jawatan untuk puaskan hati siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBARANG tindakan yang diambil oleh manusia adalah bagi mencapai sesuatu objektif. Meskipun bukan untuk manfaat atau kepuasan sendiri, setidak-tidaknya demi kemaslahatan kelompok, organisasi atau masyarakat.

Tindakan yang membuta tuli kebiasaannya tidak akan menyelesaikan apa-apa persoalan, malah bakal membuka ruang-ruang permasalahan baharu yang akan mengheret lebih ramai sosok untuk terlibat.

Pengumuman peletakan jawatan dua menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan kelmarin bukanlah cerita yang mengejutkan. Ura-ura pengunduran Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad selaku figura politik yang tewas dalam Pemilihan PKR kali ini telah bertiup, meskipun Kongres Nasional PKR belum berlangsung.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi, peletakan jawatan selaku Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam adalah bertitik tolak daripada keputusan pemilihan parti.

Mohd. Rafizi berkata, seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat dalam kerajaan.

Nik Nazmi pula berpendapat, kedudukannya sebagai Naib Presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan ke Kabinet.

Mohd. Rafizi gagal mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden, tewas kepada Nurul Izzah Anwar yang mendapat 9,803 undi daripada 13,752 kertas undi dikeluarkan.

Sememangnya tamparan hebat buat Mohd. Rafizi selaku orang nombor dua dalam parti apabila hanya mendapat 28 peratus daripada kertas undi yang dikeluarkan iaitu 3,866 undi.

Nik Nazmi pula harus akur selepas mendapat 5,656 undi iaitu tempat kelima daripada 12 calon dalam perebutan jawatan Naib Presiden yang menyaksikan muka baharu Ramanan Ramakrishnan mengambil tempatnya bersama tiga penyandang jawatan, Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Chang Lih Kang.

Episod peletakan jawatan Kabinet di Malaysia bukanlah sesuatu yang janggal, malah beberapa Perdana Menteri pernah berbuat demikian disebabkan pergolakan atau tekanan politik.

Pada Januari 2020, Dr. Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Ia disusuli dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Ketujuh pada 24 Februari 2020 yang menyaksikan kerajaan Pakatan

Harapan (PH) ketika itu terbubar dan digantikan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020 juga melepaskan jawatannya pada 16 Ogos 2021 kerana tekanan daripada UMNO dan digantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Peletakan jawatan seseorang menteri tidak memberi kesan langsung kepada Jemaah Menteri berbanding posisi Perdana Menteri yang bakal menyebabkan sesuatu kerajaan itu terbubar secara automatik.

Namun, melihat kepada penggal Dewan Rakyat Ke-15 yang hampir genap usia tiga tahun, sebarang percaturan yang membawa kepada rombakan Kabinet atau pertukaran menteri tidak sepatutnya berlaku kerana sedikit sebanyak akan merencatkan perjalanan kementerian dan jabatan di bawahnya.

Tambahan pula ia semata-mata disebabkan kedudukan terkini dalam parti kerana sepatutnya seseorang itu dipilih bukan atas merit posisi, tetapi kemampuan untuk menerajui sesebuah kementerian juga perlu diambil kira. – UTUSAN

Hadi Ab. Manap ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia