Lenyapkan ‘ali baba’ dan kronisme

Lenyapkan ‘ali baba’ dan kronisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLISI yang digubal terutama Dasar Ekonomi Baru suatu ketika adalah wajar dan munasabah. Namun pelaksanaan tidak bertanggungjawab telah menggalakkan gejala ‘ali baba’ yang sehingga kini merupakan barah yang sudah merebak ke akar umbi masyarakat.

‘Ali baba’ merujuk kepada satu pakatan perniagaan yang tidak seimbang dibentuk oleh dua atau lebih pihak di mana satu pihak wujud kerana kemudahan yang dinikmati akibat dari pelaksanaan sesuatu dasar. Atau yang ‘dekat’ kepada pemimpin yang berkuasa untuk memberikan projek, kontrak, lesen dan sebagainya.

Pihak ini disebut sebagai ‘ali’ kerana lazimnya di Malaysia, kaum bumiputeralah yang menikmati kemudahan itu. Ali, biasanya tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam perniagaan, tetapi berpegang kepada pengaruh politik dan pentadbiran serta bertindak sebagai ‘rakan kongsi tidur’ (sleeping partner).

‘Baba’ sebaliknya dari golongan rakyat tertentu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan modal perniagaan yang menyum­bang kepada produktiviti syarikat dan mengawal penuh operasi syarikat.

“Melayu punya kontrak, orang lain punya kerja” adalah ungkapan lazim kita dengar. Untuk mengekang ‘ali baba’, perlu ada peraturan jika kerajaan mahu perketatkan syarat untuk mele­nyapkan gejala ini dari berleluasa.

Antaranya, syarikat dianugerah kontrak dan tender kerajaan perlu tandatangani aku janji yang mereka akan siapkan kerja tanpa menyerahkan kepada pihak ketiga. Itu jawapan paling klise, yang akan berlaku juga lompang yang akhirnya berulang ‘ali baba’.

Gejala ‘ali baba’ hanya mengakibatkan kontraktor bumiputera menjadi tidak kompeten untuk bersaing, meskipun diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk siapkan projek yang dianugerahkan kepada mereka.

Di sebalik menularnya gejala ini, meskipun konsep ‘ali baba’ secara spesifik merujuk kepada pakatan melibatkan Melayu de­ngan pihak tertentu, ‘pemakaian’ konsep ini sebenarnya lebih menyeluruh. Ini termasuklah amalan kronisme dalam memberikan kontrak dan lesen.

Pendek kata, ‘Ali’ dalam konteks ini bukan hanya khusus kepada orang Melayu tetapi siapa sahaja yang memperoleh sesuatu kontrak atau lesen dari kerajaan – bukan kerana keutamaan dari segi kebolehan dan pengalaman tetapi kerana kedekatan dengan pemimpin. Tetapi akhirnya serahkan kepada orang lain untuk sempurnakan kontrak.

Apa pun tafsirannya, intipati atau pengertian sebenar (substance), kronisme dan ‘ali baba’ mempunyai banyak persamaan. Bahkan, kewujudan kedua-kedua konsep ini hampir seperti pasangan yang saling melengkapi, yang kedua-duanya tidak baik, merosak dan merugikan.

Lebih membimbangkan lagi, pemikiran ‘ali baba’ hari ini mungkin menjadi pegangan anak-anak muda yang berjuang menggunakan parti politik sebagai landasan. Kelak anti akibatnya apabila golongan mereka ini mula mengambil alih pentadbiran negara.

Pelaksanaan dasar yang salah oleh pemimpin yang amalkan rasuah, salah guna kuasa dan kronisme amat dikesalkan. Paling rugi adalah golongan usahawan Melayu yang tulen dalam menjalankan perniagaan mereka.

Maka tidak hairanlah apabila kita sering mendengar rungutan-rungutan menyatakan ada Melayu yang pandai berniaga dan tidak cukup modal. Tetapi kerana mereka bukan dari golongan elit Melayu atau kroni seseorang pemimpin, mereka tidak mendapat bantuan dan perniagaan mereka tidak berkembang.

Dalam perniagaan, sikap ambil untung atas angin atau pun aktiviti mengaut sewa (rent seeking) atau pengambilan komisen, yang dimungkinkan melalui konsep ‘ali baba’ mahupun kronisme, akan hanya meningkatkan kos sesuatu barang atau perkhidmatan. Yang akhirnya bahana ditanggung oleh masyarakat umum.

Moga gejala ‘ali baba’-kronisme ini lenyap terus apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dipertanggungjawab mengendalikan peruntukan dana RM1 bilion untuk melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi.

Zulkifli Jalil adalah Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya