Legenda insan kamil Che Awang Bodo - Utusan Malaysia

Legenda insan kamil Che Awang Bodo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG antara ustaz popular dan selebriti negara kita berhubung kerja-kerja kebajikan di bumi Gaza mendorong saya berkongsi nukilan rakan sekolah, Mohamad Rusli Ariffin di ruangan ini. Ketika sebahagian daripada kita berlumba-lumba melaku kebajikan pada skala besar, ramai yang terlepas pandang pada insan kerdil yang kadang kala dihina tetapi kedudukan mereka lebih mulia di sisi Allah.

Dalam catatan di Facebook Rusli berkata, sewaktu kecilnya, ada seorang insan yang orang kampungnya gelar Che Awang Bodo. Insan itu sudah lama meninggal dunia, tetapi tidak ada siapa yang tahu nama sebenarnya. Katanya, Che Awang Bodo memiliki susuk tubuh agak kecil dan sedikit bongkok. Berkulit hitam di bakar matahari. Dia tidak mempunyai sebarang kenderaan. Ke mana-mana hanya berjalan kaki. Insan itu juga tidak pernah berkahwin. Mungkin disebabkan gelarannya itu, maka tiada siapa yang ingin berkahwin dengannya.

Menurut Rusli, pekerjaan utama Che Awang Bodo adalah menternak kerbau. Dalam satu-satu masa ada berbelas ekor kerbau di bawah jagaan. Satu karakter Che Awang Bodo kata Rusli, ialah dia tak banyak bercakap. Sepatah ditanya, sepatahlah di jawab. Tidak pandai bercerita itu ini.

Perkara yang Che Awang Bodo suka buat ialah dia akan datang ke rumah kenduri jika ada kenduri. Tanpa diminta dan tanpa disuruh dia akan duduk mencuci pinggan mangkuk dari awal pagi hingga selesai kenduri.

Pada bulan Ramadan dia akan ke masjid untuk mencuci pinggan mangkuk yang digunakan untuk moreh dan sebagainya, Dia akan lakukan kerja-kerja mencuci hingga selesai. Tidak ada rungutan, tidak ada upah, tidak ada ganjaran, hanyalah sekadar lebihan makanan yang dibungkus untuknya.

Kata Rusli, padanya Che Awang Bodo adalah antara insan kurang bernasib baik yang dijadikan Allah tanpa mempunyai apa-apa kelebihan.Tetapi hari ini apabila sudah dewasa kata Rusli, pandangannya itu salah sama sekali. Istimewanya Che Awang Bodo ialah dia tidak pernah menyakiti sesiapa, tidak bercakap buruk tentang orang lain dan tidak mengambil yang bukan haknya.
“Seingat aku lah… pemergiannya juga tidak ditangisi oleh sesiapa malah tidak ada sesiapa pun yang mahu mengingatinya selepas pemergiaannya.. Itu lah lagenda Che Awang Bodo,” tulis Rusli.
Katanya, mereka sekampung menganggapnya seorang yang bodoh yang tidak mengerti apa-apa, tapi sebenarnya dia adalah insan kamil yang dipilih oleh Allah dan dihantar ke dunia supaya memberi teladan kepada kita semua.

Seperti biasa, kita jarang mengambil iktibar dari kehadiran insan-insan seperti ini. Sebabnya, kita lebih terpersona dengan mereka yang memiliki wajah menarik dan tutur kata lemah lembut hingga tidak menyedari terselit racun yang memecahbelahkan ummah.

Kata Rusli, mengenangkan Che Awang Bodo membuatkannya menjadi semakin insaf. Kita ini tidak mempunyai apa-apa keistimewaan di dunia ini. Sesuatu yang indah itu kadang-kadang racun dan yang pahit pula ubat paling mujarab.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya