Laku apa sahaja demi keselamatan sempadan

Laku apa sahaja demi keselamatan sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mempengerusikan mesyuarat khas melibatkan kepimpinan tertinggi kementerian beliau dalam memperincikan pelan komprehensif penambahbaikan bagi mengetatkan lagi kawalan keselamatan di lapangan terbang.

Langkah itu diambil ekoran penangkapan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines yang dipercayai membawa dadah ketika tiba di sebuah lapangan terbang di Jakarta.

Kejadian itu menimbulkan kontroversi kerana suspek berjaya melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi gagal melepasi pemeriksaan di pintu masuk Jakarta.

Keadaan itu agak memalukan imej negara terutama dalam membanteras jenayah penyeludupan sempadan sedangkan KLIA antara yang dikatakan lapangan terbang canggih di dunia.

Pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta penghujung bulan lalu selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan sebanyak 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 26 kilogram.

Kejadian itu menjadi perbualan ramai sehingga timbul pelbagai tanggapan negatif termasuk penglibatan `orang dalam’ di KLIA yang memudahkan urusan juruterbang itu melepasi pemeriksaan.

Lebih-lebih dengan berlakunya kes counter setting sebelum ini apabila ramai warga asing berjaya melepasi sempadan negara selepas petugas menerima imbuhan.

Malah peralatan pemeriksaan seperti mesin imbasan di lapangan terbang juga dikatakan tidak canggih sehingga kes membawa dadah boleh terlepas.

Semua tanggapan itu kini menjadi tumpuan pihak berkuasa Malaysia dalam mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku dan mencari kelemahan wang wujud.

Betul, mesin pengimbas di KLIA antara yang paling canggih di dunia tetapi ia amat berkesan dalam mengesan logam seperti senjata berbahaya. Ia boleh mengesan pistol, bom atau objek tajam yang boleh menjejaskan penerbangan. Tetapi malangnya tidak boleh mengesan secara tepat kehadiran bahan organik seperti dadah dalam beg penumpang.

Lebih-lebih lagi apabila anggota bertugas lebih fokus kepada senjata yang berbahaya dan bahan organik itu pula dibungkus dengan baik untuk mengaburi pihak berkuasa sempadan.

Menurut Saifuddin, kerajaan sedang mempertimbang teknologi baharu yang boleh memperkukuh pengesanan barangan kontraban susulan insiden penyeludupan yang berlaku baru-baru ini.

Langkah meletakkan lebih banyak kamera yang canggih di pintu pemeriksaan lapangan terbang juga wajar dipertimbangkan supaya pengawasan gerak geri petugas dan penumpang dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Sebab itulah mesyuarat kepimpinan tertinggi KDN itu amat penting supaya satu langkah berkesan dapat diambil dalam membanteras jenayah penyeludupan terutama di lapangan terbang.

Pemeriksaan ketat juga perlu dilakukan terhadap semua penumpang yang mahu berlepas, bukan sahaja terhadap mereka yang tiba di tanah air.

 

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan MalaysiaUTUSAN

×