Laksana Belanjawan 2024 segera demi pembangunan ekonomi

Laksana Belanjawan 2024 segera demi pembangunan ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan projek pembangunan yang diluluskan pada Belanjawan 2024 sudah boleh dimulakan segera kerana dana sudah disalurkan kepada setiap kementerian pada bulan ini.

Peruntukan itu juga buat pertama kalinya disalurkan dalam bulan Januari dan tidak perlu menunggu sehingga suku pertama tahun 2024.

Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ melibatkan peruntukan RM393.8 bi­lion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan de­ngan RM303.8 adalah untuk belanja mengurus, RM90 bi­lion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Sesuai dengan temanya, maka projek-projek berkaitan perlu dilaksanakan segera. Ia bukan sahaja untuk memberi kehidupan lebih selesa untuk rakyat tetapi pada masa sama dapat membangunkan ekonomi negara.

Ekonomi tidak dapat berkembang sekiranya projek pembangunan yang dirancang hanya terperap di pejabat-pejabat kerajaan. Ia hanya dapat dilaksanakan jika peruntukan berkaitan disalurkan kepada pihak berkenaan secepat mungkin.

Apabila kerajaan mengumumkan projek itu, sudah tentu ia dibuat berdasarkan kedudukan kewangan yang ada dan lebih mampu untuk melaksanakannya. Amat malang jika peruntukan sudah ada tetapi tidak ‘turun’ kepada pihak terlibat.

Ia bukan sahaja melambatkan pelaksanaan pembangunan projek tetapi sebenarnya turut membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Malah peluang kerja untuk pelbagai peringkat juga tidak dapat diwujudkan kerana projek tidak berjalan.

Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan itu juga sebenarnya satu rantaian ekonomi yang besar kerana ba­nyak pihak yang dapat manfaat daripada kontraktor, pembekal bahan binaan, syarikat perunding sehinggalah kepada pekerja rencam. Banyak pihak yang akan mendapat manfaat ekonomi itu.

Ketika ketidaktentuan ekonomi global, kebimbangan pelabur untuk datang ke negara ni ekoran kemelut politik berpanjangan, pengangguran graduan yang semakin bertambah dan kesan ekonomi lembap akibat daripada pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021, sudah tentu projek pembangunan yang dirancang dalam Belanjawan 2024 amat penting.

Selain mereka yang terlibat dalam pembangunan sesuatu projek itu mendapat manfaat ekonomi misalnya membaik­pulih 400 klinik daif dan sekolah daif di seluruh negara, rakyat keseluruhannya juga akan mendapat keselesaan dan keselamatan mereka terjamin.

Sebab itulah agensi pelaksana perlu memahami perkara tersebut dan menyegerakan projek pembangunan berke­naan tetapi pada masa yang sama perlu memastikannya dilakukan dengan telus dan penuh integriti. – UTUSAN

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia