KWSP: Jangan pukul rata semua dividen

KWSP: Jangan pukul rata semua dividen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lalu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menggesa kerajaan memasukkan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam Akaun 3 sebagai usaha meringankan beban rakyat khususnya pada musim perayaan ini.

Tuntutan itu katanya tidak menyentuh caruman asal, tidak minta pun untuk keluar simpanan pokok, tidak minta usik wang untuk persaraan atau pengeluaran khas, sebaliknya hanya meminta dividen tahunan semasa keuntungan pelaburan dimasukkan 100 peratus ke Akaun 3.

Pihak yang mengharapkan dividen sudah pasti mahukan percaturan itu menjadi realiti, sebaliknya bagi pakar ekonomi yang kurang bersetuju dengan cadangan berkenaan yang disifatkan sudah lari daripada matlamat asal penubuhan KWSP.

Pun begitu harapan berkenaan tidak tercapai apabila Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn dalam sidang akhbarnya menegaskan dalam undang-undang ini, dividen tidak boleh dipindah merentasi akaun sesuka hati.

Agihan dividen dikreditkan terus ke dalam akaun pencarum masing-masing mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, dikreditkan terus ke akaun pencarum mengikut Akta KWSP 1991, supaya setiap pembayaran dividen berjalan ikut struktur akaun yang ditetapkan. 

Dividen mesti masuk ke akaun yang betul, sama ada Akaun 1 atau Akaun 2 dan Akaun 3. Keadaan ini penting dalam mengekalkan integriti dan ketelusan pengagihan kepada le­bih 16 juta pencarum. Bagi pencarum Akaun 3, dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan 2025 tetap sah diterima. Tapi agihan dibuat ikut baki sebenar dalam setiap akaun, bukan secara pukal. 

Konsepnya mudah, banyak baki, banyak dividen. Sedikit baki, dapatlah seadanya. Kalau Akaun 3 kosong sebab sudah dikeluarkan, dividen pun tiadalah. Penerangan itu ringkas, tapi ada segelintir tetap tidak mahu untuk memahaminya. 

Pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan pengeluaran, termasuk kos sara hidup yang meningkat dan bagi memenuhi persiapan perayaan tidak lama lagi.

Sebenarnya, matlamat Akaun 3 adalah fleksibiliti. Berbeza dengan Akaun 1 yang khas untuk persaraan, Akaun 3 membolehkan wang dikeluarkan bila-bila masa untuk keperluan harian atau kecemasan, contohnya kos perubatan dan pendidikan. Akaun 3 ini tempat pencarum belajar mengurus simpanan sendiri, menyesuaikan diri dengan gaya hidup moden yang perlukan kewangan fleksibel. Tetapilah tidaklah boleh dikeluarkan setiap masa. Tanpa baki, mana nak dapat dividennya?.

Realitinya, ada juga pencarum yang pantang nampak duit. Segalanya mahu dibelanjakan walaupun kepada perkara tidak perlu. Tidak percaya, cuba lihat barangan di rumah kita. Beli tapi tak pakai. Ada juga yang bermentaliti ‘wang saya, suka hati nak buat apa’ sedangkan fahaman inilah kelak merosakkan tabungan sendiri kerana gagal faham tujuan simpanan.

Untuk simpanan hari tua, biarkan ia berkembang untuk masa depan. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak lagi ada, keluarga masih dapat manfaatnya. 

Jangan biarkan tabungan habis begitu saja tanpa kesedaran. Simpanan bukan sekadar angka sebaliknya jaminan kehidupan masa persaraan dan warisan untuk yang tersayang. Perlu ingat matlamat penubuhan KWSP itu yang dibina bukan sebagai simpanan biasa, sebaliknya instrumen penting untuk memastikan masa depan pencarum lebih terjamin dan sejahtera melalui usia senja selepas bersara.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita Utusan Malaysia