Kursus untuk menteri, hindari ‘Little Napoleon’ - Utusan Malaysia

Kursus untuk menteri, hindari ‘Little Napoleon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kabinet adalah jawatankuasa paling utama dalam operasi seorang Perdana Menteri. Semestinya banyak bergantung kepada keupayaan menteri-menteri berkaliber serta memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan.

Anda menteri cubalah sebaik-baiknya tutup ruang untuk dicalar. Buat persiapan yang cukup sebelum ke suatu program dan sidang media. Jaga bahasa, tutur kata dan sensitiviti ketika mengendalikan suatu bencana dan peristiwa.

Perasaan mangsa yang dilanda musibah dan kematian tetap sama – sedih, menghiris hati biar mana pun kaum, agama dan budayanya. Jaga intonasi suara. Jangan nampak meninggi, apa lagi kalau yang ditemukan itu cikgu-cikgu yang budi pekerti dan adab cukup peka mereka dalam menguruskan anak-anak di sekolah.

Bila perkenalkan inisiatif baharu, harus tahu khalayak dituju. Siapa sasaran utama. Jangan semberono sahaja sebab banyak mata memandang, telinga mendengar. Lagi-lagi musuh politik, yang peluang sebesar zarah pun dalam politik Malaysia hari ini akan dimanipulasi sehabis boleh.

Jangan populis untuk survival diri semata-mata. Dengan timbalan, mesti berganding bahu. Jangan timbalan menteri pula lebih sudu dari kuah. Orang Islam masuk rumah baharu pun ada adabnya. Kerana sosek sosek di luar sana yang kita pun tak tahu hujung pangkalnya, terus dihambat satu kementerian.

Boleh bawa nada pembangkang, tapi biarlah pemikiran itu aras tinggi dan matang.
Pada 1980an dan 1990an, di peringkat timbalan menteri lagi penyandangnya sudah tunjukkan potensi terbaik.

Ada beberapa timbalan menteri sampai berkhidmat melebihi 10 tahun sebelum diangkat menteri. Suatu aperantis sebelum pelantikan menteri penuh. Jadi, bersyukur untuk anda yang terus pegang jawatan masuk melalui ‘tingkap, bukan pintu’.

Sebenarnya ada eloknya untuk Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara dimanfaatkan sebaik-baiknya. Antaranya mengadakan kursus bagaimana menteri, timbalan menteri, ketua-ketua jabatan serta lantikan politik harus berkhidmat cara yang betul dalam kerajaan. Cuma kelihatannya hari ini INTAN tidak lagi seagresif dulu.

Tidak kurang pentingnya, Kerajaan Perpaduan harus menghindarkan Little Napoleon dalam kementerian dan jabatan kerajaan. Kelibat ini hanya merosakkan imej bos mereka.

Hormatilah suara kebebasan akhbar. Akhbar bukan alat propaganda semata-mata. Ia institusi berdiri di antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara rakyat menyampaikan luahan hati dan aspirasinya melalui isu-isu disiarkan akhbar. Jangan ada Little Napoleon ‘mengacau’ kebebasan ini.

Kepada menteri, timbalan menteri, bantulah Perdana Menteri. Bak kata pepatah Melayu “alah bisa, tegal biasa”. Apa sahaja yang sukar jika diberlatih, lama kelamaan akan menjadi mudah jua.

Tiada perkara yang dipandang terlalu mustahak atau terlalu remeh untuk diketepikan selagi yang dibangkitkan berkait kesejahteraan rakyat dan negara.

 

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya