MENJELANG setiap pilihan raya, seruan mengenai penyatuan parti-parti Melayu akan bergema. Pemimpin-pemimpin bertemu, gambar berjabat tangan dimuat naik dan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan mengenai pentingnya perpaduan demi masa depan negara.
Apabila tiba soal pembahagian kerusi, siapa yang benar-benar sanggup mengalah?
Di Negeri Sembilan, persoalan ini menjadi lebih menarik. Negeri yang mempunyai komposisi pengundi pelbagai dan tiada satu pun parti Melayu yang benar-benar dominan. Barisan Nasional (BN) masih mempunyai akar umbi yang kuat di beberapa kawasan.
Perikatan Nasional (PN) pula semakin mendapat tempat dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu manakala Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tetap mempunyai pengaruh tersendiri.
Pendek kata, semua pihak mempunyai kekuatan tetapi tiada siapa cukup kuat untuk mendabik dada.
Faktor inilah yang sepatutnya mendorong penyatuan. Sebaliknya, ia sering melahirkan lebih banyak persaingan sesama sendiri.
BN berasakan mereka mempunyai pengalaman dan jentera paling tersusun. PN pula percaya gelombang sokongan Melayu masih memihak kepada mereka sementara PH melihat kestabilan kerajaan sedia ada sebagai kelebihan yang boleh dipertahankan.
Semua mempunyai hujah masing-masing. Semua berasakan mereka mempunyai peluang terbaik. Masalahnya, dalam politik terlalu ramai yang mahu menjadi panglima tetapi tidak ramai yang sanggup menjadi pendamai.
Setiap kali isu penyatuan dibangkitkan, semua pihak bercakap mengenai kepentingan orang Melayu. Namun, apabila rundingan memasuki fasa pembahagian kerusi, sentimen berubah. Kerusi yang pernah dimenangi dianggap hak milik kekal. Kawasan yang pernah kalah juga enggan dilepaskan.
Jika semua pihak masih berpegang kepada formula ‘aku lebih layak’, maka rundingan tidak akan ke mana. Politik bukan soal siapa paling ego tetapi siapa paling realistik.
Jika BN mempunyai peluang lebih baik di sesuatu kawasan, maka pihak lain perlu berlapang dada. Jika PN lebih diterima di kawasan tertentu, berilah laluan. Mengalah tidak semestinya kalah.
Malangnya, budaya politik kita sering melihat tolak ansur sebagai tanda kelemahan. Ada yang sanggup kehilangan seluruh negeri asalkan tidak kehilangan satu kerusi. Ada yang lebih rela melihat lawan menang daripada memberikan ruang kepada rakan sendiri.
Akhirnya, semua pihak sibuk mencari siapa yang patut dipersalahkan selepas pilihan raya.
Parti-parti Melayu juga perlu merendahkan sedikit rasa ketuanan di negeri masing-masing. Tiada lagi ruang untuk mentaliti bahawa sesebuah kawasan adalah kubu tradisi yang tidak boleh disentuh.
Pengundi hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi mengundi semata-mata kerana logo atau sentimen lama. Mereka mahu melihat kestabilan, kesederhanaan dan kemampuan pemimpin untuk bekerjasama.
Jika BN dan PN terutama UMNO dan Pas benar-benar serius mahu bercakap mengenai masa depan politik Melayu di Negeri Sembilan, mereka perlu mula dengan satu perkara yang paling sukar iaitu membuang ego.
Tiada siapa lagi mampu memerintah secara bersendirian.
Penyatuan tidak memerlukan terlalu banyak slogan atau sidang akhbar. Ia hanya memerlukan keberanian untuk berkompromi dan menerima bahawa matlamat yang lebih besar kadangkala menuntut pengorbanan kecil.
Jika semua sanggup mengalah sedikit, Negeri Sembilan mungkin boleh menjadi contoh bahawa dalam politik, kemenangan terbesar bukanlah apabila satu parti menguasai semuanya tetapi apabila semua pihak sanggup mengetepikan ego demi kepentingan lebih besar.
Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN
Kunci penyatuan adalah rendahkan ego

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved