Kuat kuasa Seksyen 17A SPRM terhadap agensi kerajaan - Utusan Malaysia

Kuat kuasa Seksyen 17A SPRM terhadap agensi kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU rasuah membabitkan kakitangan kerajaan sekali lagi meletup minggu lalu. Kali ini membabitkan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Berbaris kakitangan jabatan itu dalam baju oren dibawa ke mahkamah.

Mereka dipercayai ada “hubungan intim” dengan syarikat pengangkutan bagi melepaskan pemandu lori atas pelbagai kesalahan. Ini bukan perkara baharu. Ia selama pelacur menaiki kapal yang berlabuh di pelabuhan melayan kelasi. Barah ini tidak akan berhenti.

Sebelum ini negara digegarkan insiden “pelepasan” warga asing di kaunter imigresen di lapangan terbang. Angka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disiarkan akhbar ini minggu lalu menunjukkan tangkapan terbesar kes rasuah membabitkan kakitangan awam. Fakta ini juga tidak mengejutkan berdasarkan deretan berita mengenai rasuah.

Adakah semua usaha sebelum ini sia-sia? Apakah langkah lain? Kerajaan harus memasukkan Seksyen 17A akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) untuk merangkumi agensi dan kementerian kerajaan. Ketika ini akta itu memperuntukkan hanya organisasi KOMERSIAL mempunyai liabiliti dan pengurusan termasuk pengarah boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan rasuah.

Hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Persoalannya kenapa hanya pengarah dan pengurusan entiti komersial tetapi bukan agensi kerajaan atau kementerian? Adakah undang-undang ini berbentuk double standards walaupun sepatutnya ia merangkumi semua entiti, kerajaan atau swasta atau komersial.

Dengan meletakkan pengurusan agensi kerajaan dan kementerian sebagai turut bertanggungjawab akan meningkatkan usaha membendung rasuah membabitkan agensi kerajaan.

Bukankah perlembagaan itu bersifat adil? Bukankah perundangan tidak mengenal kedudukan, warna kulit, bangsa, agama atau sama ada entiti komersial atau kerajaan? Mungkin ini permulaan yang perlu diambil kerajaan jika ia benar-benar mahu menghapuskan rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.

2. Baca lebih daripada tajuk

Minggu lalu beberapa media dikecam berikutan laporan kematian seorang jururawat dan kaitannya dengan pengambilan vaksin. Sememangnya media bertanggungjawab terhadap setiap laporan. Orang ramai bebas mengecam sebarang berita. Kepada mana-mana pengarang, kesilapan adalah “dosa besar”.

Ia membabitkan kredibiliti organisasi dan kepercayaan masyarakat. Tiada editor sengaja membiarkan kesalahan. Tetapi itu bukan alasan untuk mengelak. Dalam laporan media yang menjadi kontroversi, fakta mengesahkan jururawat itu meninggal kerana sakit jantung.

Dia mempunyai hipertensi. Dia juga meninggal di rumah. Dalam laporan polis suaminya, yang dibacakan pihak berkuasa, jururawat itu disah mengambil vaksin. Mungkin tajuk disensasikan tetapi jika dibaca secara keseluruhan, semua fakta ini dijelaskan.

Media cetak terletak di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan manakala penerbitan di web di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Tiada organisasi media yang bertanggungjawab akan mensabotaj program vaksinasi terpenting ini. Ia tanggungjawab sosial organisasi media.

Ini bukan lagi era individu paling berkuasa zaman dahulu mengarahkan media untuk datang atau pergi. Media bertanggungjawab atas setiap laporan dan boleh dikecam tetapi ia juga harus dibenarkan bertanya soalan sukar seperti RM5 bilion kos vaksinasi dan pecahannya. Hanya kerana sesuatu berita itu tidak disukai, ia tidak semestinya salah.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.