KPN: Razarudin disambung atau ada pengganti?

KPN: Razarudin disambung atau ada pengganti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA jawatan penting dalam agensi keselamatan utama negara menjadi tanda tanya sebelum ini. Sama ada penyandang sedia ada akan disambung atau akan ada calon baharu menggantikannya.

Bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah terjawab apabila Tan Sri Azam Bagi disambung kontraknya untuk tempoh setahun berkuat kuasa pada 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Kini satu lagi jawatan menjadi tumpuan dan perhatian rakyat iaitu kedudukan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, 62. Beliau yang menyandang jawatan itu secara kontrak selama dua tahun sejak 2023 akan tamat bulan ini.

Ekoran itu timbul persoalan sama ada kontrak beliau akan disambung atau akan ada calon baharu mengisi jawatan paling penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Jika kontrak Razarudin disambung, ia dilihat baik untuk pasukan dan negara secara keseluruhannya demi kesinambungan dasar-dasar dan perubahan yang telah dilakukan.

Razarudin terkenal sebagai ketua yang hand on dan kerap turun padang selain berjaya menangani beberapa kejadian besar tanpa memberikan impak kepada imej negara. Antaranya kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor dan isu membabitkan GISBH Sdn. Bhd. yang merupakan dua peristiwa yang menggugat keselamatan negara dan agama Islam.

Jika pengalaman yang mahu diambil kira, Razarudin langsung tidak ada masalah untuk terus berada di jawatan itu. Pencapaian dalam PDRM sejak 1984 cukup banyak untuk melayakkan beliau berada di jawatan itu.

Persoalan sekarang, andai kata kontrak Razarudin tidak disambung, siapa individu yang akan dilantik menggantikan beliau? Sebelum ini ada pelbagai khabar angin. Malah ada yang menyebut nama siapa yang layak.

Walaupun ada yang mengatakan calon ini baik, individu itu bagus dan yang ini berwibawa, tetapi apa yang penting dalam pelantikan jawatan KPN ialah ia dapat memastikan wibawa PDRM kekal berada di tahap tertinggi dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap agensi itu dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

Walaupun PDRM adalah satu badan yang bebas lagi profesional, namun pandangan dan persepsi rakyat tetap akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang dilantik.

Pada masa sama, ia turut memberi kesan kepada kerajaan. Kerana, apabila dilantik, rakyat akan tanya mampukah individu itu memikul tanggungjawab melaksanakan mandat daripada kerajaan dan rakyat memerangi apa sahaja kebobrokan jenayah terutama rasuah?

Lagi pula, teras utama Kerajaan Madani sekarang adalah memastikan tatakelola berjalan dengan baik dan rasuah dibanteras dari pucuk hingga ke akar, termasuk memastikan jerung-jerung tidak terlepas. Ini komitmen Perdana Menteri akan perlu diterjemahkan oleh SPRM dan PDRM.

Sebab itu, andai kata kontrak Razarudin tidak disambung maka penggantinya mestilah yang dihormati dan disegani oleh semua dan diterima baik oleh rakyat. Individu yang mempunyai karakter dan karisma yang tidak ada siapa boleh mempertikaikannya.

Ini juga penting kepada imej Kerajaan Madani kerana pelantikan yang kurang tepat akan membawa kritikan berpanjangan oleh pembangkang dan rasa kurang senang oleh rakyat. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia