Korupsi merosak bangsa, generasi - Utusan Malaysia

Korupsi merosak bangsa, generasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“NEGARA ini paling kaya di dunia, tetapi jadi paling melarat, karena (kerana) koruptor (orang yang terlibat dalam rasuah) tidak ditindak.”

Itu kata-kata hikmat Allahyarham Pak Gus Dur ketika beliau membicarakan tentang Indonesia suatu ketika dahulu.

Bekas Presiden Indonesia itu lantang mengatakan soal korupsi biarpun sudah berdiri (diwujudkan) KPK (Komisi Pemberantasan Korupsi) atau di Malaysia disebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas Pak Gus Dur: “Para bejabat seolah tidak takut dengan tindakan busuk mereka, padahal mereka jelas-jelas telah merusak bangsa dan generasinya.”
Maksudnya, mereka yang berada dalam kelompok pentadbiran negara tidak takut dengan tindakan ‘busuk’ (rasuah) walaupun telah jelas apa yang dilakukan itu merosakkan bangsa dan generasi.

Baru-baru ini, kita ‘disuap’ lagi dengan cerita 44 individu terdiri daripada 31 pegawai penguat kuasa negara ditahan SPRM kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori.

Kesemua mereka dipercayai menerima suapan keseluruhan bernilai RM1.64 juta. Bukan ‘kecil-kecil anak’ nilai suapan tersebut, boleh membantu ramai insan yang kesusahan ketika ini. Modus operandi mereka, tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Bukan mahu mendahului ‘keputusan mahkamah’, tetapi inilah yang dikatakan Pak Gus Dur, ‘merusak bangsa dan generasinya’. Biarpun diucapkan mengenai Indonesia, bisa aja dipakai dan difikirkan bersama oleh kita di sini.

Entah di mana silapnya sistem hukuman kesalahan rasuah di negara ini sehingga seakan-akan dilihat tidak menggerunkan malah sentiasa dilaporkan berlaku. Dari ahli politik membawa ke penjawat awam, penguat kuasa dan sistem sosial lain.

Sebab itu kita terus mendengar ‘bahana’ kes-kes yang tidak berkesudahan malah semakin membarah.

Ambil contoh isu penguatkuasaan yang lemah di sempadan sehinggakan pendatang asing tanpa izin (PATI) mudah bolos dan membina ‘koloni’ sendiri di beberapa kawasan di negara ini malah menguasai sektor-sektor pasar dan perniagaan tertentu.

Apakah kita mahu melihat bangsa dan generasi kita semakin rosak dengan ‘busuknya’ bahana rasuah ini?

Mungkin ada benarnya kata pengamal undang-undang, Fatihah Jamhari yang pernah ditemu bual Utusan Malaysia baru-baru ini, kerajaan disaran meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan hukuman mati dikenakan terhadap pelaku rasuah, khususnya penjawat awam.

Jelas Fatihah: “Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah berkhidmat kepada rakyat dan negara, sepatutnya mereka menegakkan kedaulatan undang-undang, bukannya memandang ringan.”

 

Metra Syahril Mohamed ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.