Kita yang tolak kemakmuran ekonomi

Kita yang tolak kemakmuran ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak sektor perkhidmatan dan pengeluaran di negara ini terlalu bergantung kepada pekerja asing sehingga mendorong kerajaan mengadakan dasar membawa masuk ramai tenaga luar yang sudah tentu ada kebaikan dan keburukan daripada tindakan itu.

Industri sawit negara yang membekalkan kira-kira 39 peratus bekalan minyak sawit dunia memerlukan 400,000 pekerja asing atau 80 peratus untuk menggerakkannya.

Sektor pertanian seperti ladang sayur di Cameron Highlands misalnya hampir 75 peratus menggunakan tulang empat kerat warga Bangladesh.

Malah, bangsa ini juga adalah tukang masak di restoran masakan Cina muslim dan berniaga gajet.

Di kaki lima deretan kedai akan kelihatan sebuah mesin jahit dengan berkotak-kotak pakaian pelanggan untuk diubah suai dikendalikan lelaki Rohingya manakala restoran masakan Thai dimiliki warga Thailand dan kedai runcit dikuasai orang-orang Aceh.

Kalau di kebanyakan bangunan dan premis korporat, pengawal keselamatannya terdiri daripada warga Nepal.

Jadi benarlah laporan Organisasi Antarabangsa bagi Imigran (IOM) PBB bahawa banyak sektor ekonomi di negara ini dikuasai warga asing.

Laporan Jabatan Perikanan dalam Jadual 2.5 mencatatkan bilangan nelayan yang bekerja di atas kapal penangkapan ikan berlesen (1996-2021) melaporkan pada 2021, daripada 73,433 pekerja atas kapal seluruh negara, 25 peratus atau 18,909 adalah pekerja asing.

Dalam satu laporan menyebut sebanyak RM103.2 bilion aliran wang tunai keluar Malaysia direkodkan setakat September 2021.

Pada 2020 aliran wang keluar Malaysia bagi akaun primer dan sekunder adalah RM112.3 bilion yang merangkumi transaksi antaranya bayaran pampasan pekerja.

Dalam satu respon balas isu pekerja asing, lambakan pekerja asing di negara ini juga memberi impak kepada ekonomi kerana pengaliran wang yang keluar negara mencatat RM34 bilion setahun.

Jumlah itu tidak termasuk yang masuk secara tidak sah. Pokok pangkalnya, dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri yang terlalu memilih pekerjaan sehinggakan peluang di depan mata direbut warga asing.

Kesedaran dan bimbingan berterusan perlu untuk memujuk rakyat sendiri menceburi sektor ekonomi yang dikuasai warga asing.

Dari satu segi perniagaan yang diusahakan warga asing adakah dikenakan cukai perniagaan atau sudah tiba masanya bayaran levi pekerja asing dinaikkan lagi untuk sekurang-kurangnya memberi pendapatan kepada negara.

Tidak kiralah sekecil mana saiz perniagaan mereka asalkan dicukai seperti yang dilakukan oleh negara-negara Eropah.

Kemakmuran ekonomi bukan bermakna percuma, hatta rakyat Malaysia sendiri perlu membayar cukai pendapatan.

Apa istimewanya warga asing? – UTUSAN

  • Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia