Khabar gembira untuk pekebun kecil getah

Khabar gembira untuk pekebun kecil getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas berpuluh-puluh tahun hidup para pekebun kecil getah ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, golo­ngan itu kini boleh menarik nafas lega.

Ini apabila difahamkan, kerajaan akan menggunakan getah beku tempatan (cup lump) sebagai bahan turapan jalan raya di seluruh negara.

Ia susulan laporan muka depan Utusan Malaysia semalam tentang penggunaan getah beku yang dicampur bitumen, dikenali sebagai Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB). Ia untuk menurap jalan raya seluruh negara, telah diambil cakna oleh Kementerian Kerja Raya.

Langkah itu juga membolehkan kerajaan menjimatkan kos se­tengah bilion ringgit setahun jika meng­gunakan getah asli tempatan sebagai bahan penurap dalam penyelenggaraan jalan raya di negara ini.

Selain itu, penggunaan getah beku tem­patan mempunyai jangka hayat dua kali ganda lebih tinggi dari menggunakan teknologi la­ma sisa serbuk tayar terpakai (crum rubber) yang diimport dari luar negara.

Lebih penting, penggunaan sumber tempatan itu juga dapat merangsang industri pengeluaran getah yang mengalami penyusutan harga dengan permintaan 90,000 tan metrik setiap tahun. Ini sekali gus dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang berdepan dengan isu harga getah sejak sekian lama.

Selama ini, hidup para pekebun kecil memang tersepit. Kejatuhan mendadak harga getah di pasaran menyebabkan kebanyakan penoreh terpaksa mencari pendapatan sampingan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Mingguan Malaysia pada September 2022 melaporkan, ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah terus menghantui lebih 200,000 pekebun kecil getah seluruh negara.

Sebabnya, harga komoditi itu hampir dua bulan mengalami penurunan mendadak daripada RM3.20 sekilogram membabitkan getah beku kepada RM2.30 sekilogram.

Senang cakap, harga getah yang murah itu bukan sekadar menjejaskan pendapatan, malah tidak berbaloi sekiranya masih terus menoreh berbanding penat lelah serta kos terpaksa dikeluarkan.

Dengan keputusan kerajaan ini, kira-kira 35,000 tan metrik getah beku tempatan setahun akan digunakan untuk teknologi CMB. Dengan jumlah penggunaan getah sebanyak itu, ia disasarkan untuk digunakan bagi kerja penurapan jalan raya sepanjang kira-kira 8,700 kilometer

Bagi meningkatkan pendapatan para pekebun kecil, kerajaan disaran menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara bagi tujuan penurapan jalan raya.

Dengan cara ini, barulah nasib pekebun kecil getah terbela dan dapat juga merasai nikmat hasil kekayaan negara sebagaimana para pekebun sawit.

Barangkali masih banyak kepakaran dan penemuan inovasi oleh pakar-pakar tempatan yang ‘jadi arkib’ di pusat-pusat penyelidikan negara. Khazanah inilah yang mesti digali dan dibongkar untuk memacu negara lebih maju dan membantu meningkatkan lagi ekonomi para petani terlibat. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia