fbpx

Kestabilan kata kunci mengundi

Masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Seramai 21.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi akan mengunjungi pusat-pusat pembuangan undi mulai pukul 8 pagi ini untuk memilih wakil mereka.

Berbanding pilihan raya umum sebelum ini, Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) dianggap orang ramai dan juga penganalisis sebagai ‘lain macam sikit’. Ini kerana walaupun kehangatan berkempen tidak sehangat PRU14 tetapi PRU15 lebih mencabar, mendebarkan dan paling sukar diramal.

Pengundi muda berumur 29 tahun ke bawah dan yang me­ngundi buat kali pertama yang berjumlah enam juta orang dikatakan bakal menentukan keputusan tetapi kecenderungan politik mereka masih menjadi tanda tanya.

Tanpa mengambil kira situasi di Parlimen Padang Serai, PRU15 menyaksikan 945 orang calon termasuk 108 calon bebas bertanding merebut 222 kerusi Parlimen. Ini bermakna 723 calon akan kecewa apabila keputusan diumumkan malam ini.

PRU15 juga mencatat sejarah sebagai saingan paling banyak di setiap kerusi dengan Parlimen Batu paling mencuri tumpuan apabila 10 calon bertanding, disusuli dengan Ampang sembilan penjuru, tujuh penjuru di lima kerusi), enam penjuru di 24 kerusi, 43 kerusi lima penjuru, 82 kerusi (empat penjuru), 54 kerusi (tiga penjuru) dan satu lawan satu di sembilan kerusi.

Dengan jumlah calon yang ramai, apa agaknya yang bermain di fikiran pengundi sebelum mereka membuat pilihan. Adakah mereka akan memilih parti atau individu? Apakah manifesto menjadi sandaran mereka atau kempen termasuk di media sosial akan mempengaruhi keputusan mereka?

Apa pun pilihan kita, pastikan kita membuat ‘kerja rumah’ terlebih dahulu supaya tidak salah memilih. Ini sangat penting kerana PRU15 ini bukan untuk pilih ketua darjah atau ketua pergi rombongan. Ini juga bukan masa untuk buat eksperimen. Jangan lagi terpedaya dengan janji manis.

Undi kali ini adalah untuk pilih pemimpin dan pasukannya serta parti yang akan membentuk kerajaan Persekutuan dan tiga kerajaan negeri. Undi kali ini adalah sebagai persediaan untuk negara berdepan dengan ekonomi dunia yang dijangka lebih perlahan pada tahun depan.

Pasukan yang dipilih mesti mantap, berwibawa, ada kepakaran dan pengalaman untuk membawa Malaysia melayari gelora ekonomi dengan berjaya. Usah biarkan emosi atau rasa marah serta kecewa mengatasi rasional dalam membuat pilihan atau perlu menanggung derita untuk lima tahun akan datang.

Politik Malaysia tidak boleh lagi terus berada dalam keadaan terumbang-ambing. Keadaan itu memberikan kesan besar ekonomi negara dan kehidupan rakyat keseluruhannya terutama kos sara hidup, inflasi, isu kesihatan dan pendidikan.

Masih banyak usaha perlu dilakukan untuk meyakinkan semula pelabur datang ke sini. Penanda aras mudah ialah Bursa Malaysia merekodkan paras tertinggi pada 19 April 2018 iaitu hari terakhir diniagakan sebelum PRU14 tetapi sehari sebelum PRU15 iaitu 17 November 2022, trend menurun sejak PRU14 masih berterusan.

Kestabilan mesti jadi kata kunci pengundi dalam membuat pilihan hari ini. Berdoalah diberikan bantuan dan panduan oleh Yang Maha Esa untuk membuat pilihan tepat. Parti dan pemimpin pula harus menerima dengan hati terbuka sahaja keputusan yang dibuat oleh rakyat menerusi sistem demokrasi ini.

Selamat mengundi. Semoga Malaysia terus maju.

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia