Kesan abai sekuriti makanan

Kesan abai sekuriti makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah bekalan makanan terutamanya ayam, telur dan minyak masak boleh dikatakan kesemuanya bermula selepas pandemik Covid-19 yang menyerang dunia pada awal tahun 2020.

Keadaan itu dikaitkan dengan penutupan hampir semua sektor ekonomi dan kesannya banyak perusahaan terhenti malah ada yang ditutup operasinya sehingga memaksa pekerja asing juga mengambil keputusan balik ke negara asal kerana tiada pekerjaan untuk mereka.

Ketika pandemik semakin pulih, berlaku pula perang Russia-Ukraine pada Februari tahun lalu yang menyebabkan harga minyak melambung ketika itu dan bekalan jagung global dunia juga terjejas apabila rantaiannya terganggu di negara pengeluar bijirin tersebut.

Masalah bertimpa-timpa itu tidak pernah disangka oleh kebanyakan negara dan amat menyakitkan untuk pemain industri yang terlibat dalam ternakan dan sektor makanan.

Keadaan itu sebenarnya menjejaskan sekuriti makanan di kebanyakan negara termasuk Malaysia sedangkan ia salah satu aspek yang disedari penting oleh semua tetapi tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

Malaysia juga tidak terkecuali dengan cenderung kepada import makanan termasuk untuk dedak ternakan. Alasannya ia lebih menguntungkan. Tetapi dengan keadaan ekonomi dunia tidak menentu, polemik politik tempatan berterusan serta penurunan ketara nilai mawatang ringgit, sektor pertanian kembali dilihat sebagai penting.

Kekurangan bekalan jagung global menyebabkan harganya melonjak tinggi dan keadaan itu menjejaskan para penternak apabila harga makanan ayam meningkat lebih sekali ganda ketika mereka mahu bangkit semula daripada pandemik Covid-19 dan pada masa sama terpaksa menanggung pelbagai kos operasi lain yang turut mencanak naik.

Bagi mengelak kos operasi yang tinggi, penternak terpaksa memendekkan tempoh ternakan sebelum ayam boleh dijual atau ayam bertelur. Akibatnya bekalan sumber protein yang menjadi pilihan ramai itu di pasaran berkurangan dan harganya juga meningkat.

Suka atau tidak, kerajaan perlu lebih serius dalam sektor pertanian dengan sekuriti makanan menjadi agenda utama. Semua agensi terlibat mesti digerakkan ke arah itu dan lebih agresif dalam pengeluaran dan juga pemasarannya.

Kalau perlu melibatkan peneroka Felda, Felcra dan penduduk kampung yang mempunyai tanah untuk mengusahakannya sebagai pendapatan tambahan, ia perlu dilaksanakan dengan segera dan secara serius.

Lebih baik kerajaan mengeluarkan perbelanjaan tersebut untuk projek seperti itu daripada terpaksa mengeluarkan belanja ketika berlakunya krisis seperti ketika ini sehinggakan telur dan ayam pun terpaksa dibeli dari negara lain walaupun sebelum ini Malaysia antara pengeluar utama makanan itu. – UTUSAN

  • Muhd. Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya