Kerana durian badan binasa - Utusan Malaysia

Kerana durian badan binasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG rakan bercerita bagaimana dia memesan durian dari jiran yang mempunyai dusun. Dalam hati sudah tentu ia durian kampung yang biasa-biasa. Bukan durian kategori kayangan. Dia pesan enam biji dari jiran tersebut bertanya harga.

Apabila tiba harinya, maka datanglah jiran tersebut bersama enam biji durian yang boleh tahan kualitinya. Sudah tentu durian itu tidak didatangkan percuma, Ada harga yang perlu dibayar. Untuk enam biji durian yang dipesan itu, kawan tersebut perlu membayar RM500. Mahu tidak mahu terpaksa bayar walaupun terpaksa menggunakan bajet barang dapur dan bil untuk data internet belajar PdPR pada bulan itu.

Harga durian bukan calang-calang sekarang. Paling murah harga durian kampung yang dijual di bandar-bandar adalah RM10 sekilogram. Sebab itu ada yang nyaris kena strok. Bukan sebab makan durian tetapi terkejut tengok harga durian.

Bagi yang bertaraf kayangan mereka tidak ada masalah untuk membayar harga durian ini terutama kategori premium seperti duri hutan yang boleh mencecah RM400 sebiji. Sebab itu dalam berurusan dengan durian ini perlu berhati-hati dan tanya dulu dengan teliti, jika tidak, kerana durian badan boleh binasa. Bukan pengsan sebab terlebih makan durian tetapi pengsan sebab harga durian yang terlebih-lebih.

Minggu lepas kisah durian menjadi viral apabila kerajaan Pahang bertindak menebang ratusan pokok durian musang king. Pokok yang sedang lebat berbuah itu ditebang kerana ia ditanam di tanah kerajaan. Amaran sudah lama diberikan, tetapi pekebun terbabit katanya bersikap tidak endah.

Akibatnya, tindakan drastik diambil iaitu tebang pokok walaupun sedang berbuah lebat. Pekebun yang engkar dan cuba menghalang pula telah dikenakan tindakan dan dihadapkan ke mahkamah.

Semuanya disebabkan durian. Permintaan yang tinggi di luar negara dan harga yang mahal menyebabkan para pekebun berlumba-lumba menanam musang king termasuk menceroboh tanah kerajaan. Yang salah tetap salah walaupun ada antara mereka yang sudah 20 tahun mengusahakan kebun durian tersebut.

Kerajaan negeri pula segeralah bertindak jika ada tanah diceroboh. Jangan tunggu sampai durian berbuah dan sudah mendatangkan hasil baru mahu bertindak. Ia boleh mencetuskan bermacam-macam persepsi dan spekulasi.

Setiap tindakan perlu berasaskan integriti. Jangan lupa, rakyat memerhati setiap gelagat dan gerak geri. Jangan sampai kerana durian, tumbang sebuah kerajaan negeri.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia