Kerajaan sajalah jadi kartel - Utusan Malaysia

Kerajaan sajalah jadi kartel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu ayam dan telur masih belum reda. Bukan tentang persoalan telur dulu atau ayam dulu. Tetapi kedua-duanya tidak cukup bekalan di pasaran yang sekali gus menyebabkan harganya melambung.
Alasan pengusaha ternakan ayam, semuanya kerana kos operasi ladang yang meningkat berkali ganda.

Dari dedak, ubat dan vaksin segalanya meningkat lebih sekali ganda. Dakwa mereka, pengusaha ayam mengalami kerugian dalam operasi mereka ekoran kenaikan harga bijirin jagung dunia, iaitu makanan utama ayam.

Kenaikan itu tidak seimbang dengan harga runcit di pasaran lebih-lebih lagi dengan skim kawalan harga yang ditetapkan kerajaan supaya harga di pasaran tidak terlalu tinggi dan menjejaskan pengguna.

Bagi berhadapan kos operasi itu, pengusaha tidak ada cara lain selain mengurangkan jumlah ternakan yang mengakibatkan bekalan ayam dan telur di pasaran berkurangan. Akibatnya pengguna menghadapi masalah untuk membeli makanan tersebut kerana peniaga runcit mendapat bekalan yang sedikit.

Malah di sesetengah kawasan, hampir semua peniaga runcit tidak mendapat bekalan langsung atau stok terlalu sedikit berbanding permintaan daripada pengguna.

Pengusaha ternakan juga kini lebih suka menjual ayam kampung, telur ayam kampung atau telur ayam omega kerana tidak termasuk dalam skim kawalan harga dan mereka boleh menjualnya dengan harga lebih tinggi.

Sebab itulah bekalan makanan terlibat tiada masalah di pasaran.
Tetapi ayam biasa dan telur bergred A, B, C terus berhadapan masalah bekalan dan harga yang tinggi.

Penyelesaian yang diberikan oleh pengusaha ternakan adalah apungkan harga ayam dan telur sekali gus dapat membantu mereka mengatasi kerugian yang dialami.

Lagi pula kenaikan harganya tidaklah begitu tinggi dan kompetitif dengan harga telur dari India yang cuba dibawa masuk oleh kerajaan. Namun penjelasan terbaharu daripada kerajaan semalam adalah skim kawalan harga telur itu kekal demi menjaga kepentingan pengguna.

Keadaan tersebut dikhuatiri tidak akan menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.
Sehubungan itu, langkah intervensi kerajaan dalam industri ternakan ayam perlu dilakukan dengan lebih agresif.

Jika Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mewujudkan keberadaan bekalan telur dalam pasaran dengan mendapatkannya daripada pengusaha dan menjual di rangkaian pasar tani di seluruh negara, ada baiknya juga kerajaan turut terlibat sama dalam penghasilan makanan dedak ternakan dan menternak ayam.

Langkah ke arah itu sudah ada apabila beberapa agensi berkaitan sudah diberi kebenaran ke arah itu cuma pelaksanaannya sahaja yang masih tertangguh.

Dalam keadaan industri ternakan ayam hanya dikuasai oleh beberapa pengusaha besar atau lebih dikenali sebagai kartel yang dapat menentukan bekalan dan harga di pasaran, maka sudah masanya juga kerajaan menjadi kartel.

 

Muhd. Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya