Kepercayaan kepada sistem negara musnah - Utusan Malaysia

Kepercayaan kepada sistem negara musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azlan mindaKontroversi pemilikan saham dan jawapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki minggu lalu menjadi satu lagi episod “Malaysia-gate” dalam banyak-banyak isu yang melanda negara sejak dua dekad lalu.

Azam tetap berkeras dia tidak bersalah. Saham itu milik adiknya iaitu Nasir Baki. Cuma pembelian itu menggunakan akaun sahamnya.

Ketua di agensi pembasmi rasuah itu turut bertekad membersihkan namanya termasuk bersedia bertemu Suruhanjaya Sekuriti (SC) selepas badan pengawal selia transaksi saham itu menjawab penjelasan Azam.

Perkara yang akan ditentukan sama ada Azam telah melanggar Seksyen 25 (4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991. Ahli parlimen pembangkang mendesak Azam supaya “direhatkan”.

Perbincangan dalam kalangan rakyat terus panas. Di dunia siber dan sebenar, ia menjadi satu bahan jenaka seperti tidak mengetahui RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun sendiri.

Kepada kebanyakan rakyat, jawapan diberikan sukar diterima terutama ketika 6.1 juta pekerja yang mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kurang daripada RM10,000.

Dalam semua kekalutan ini, terdapat masalah lebih besar berbanding Azam dan saham milik adiknya. Minggu lalu seorang pegawai kanan SPRM didakwa kerana pecah amanah berjumlah RM25 juta.

Duit yang disonglap adalah wang disita daripada bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO). Pegawai terbabit didakwa melakukan jenayah membabitkan mata wang dolar AS berjumlah AS$6.94 (RM25 juta) di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

Agak menghairankan bagaimana wang sitaan sebanyak RM25 juta boleh hilang di bangunan yang menjadi institusi tertinggi dalam pembasmian rasuah.

Ia menarik persoalan mengenai rampasan wang tunai terbesar membabitkan kes pecah amanah di Sabah pada 2016.

Ketika itu, dikatakan lebih RM100 juta dirampas. Wang berjuta-juta ringgit dipamerkan kepada dunia sebagai kejayaan terbesar dalam sejarah negara.

Adakah wang berkenaan masih disimpan dengan baik? Siapa melakukan audit kepada keluar masuk sebarang wang sitaan? Jika kes terbaru kehilangan RM25 juta mata wang AS itu dijadikan rujukan, apakah status semua wang rampasan rasuah?

Jika wang sitaan dalam kawalan pihak berkuasa sendiri dicuri, siapa yang harus dipercayai? Agak sukar untuk rakyat yang waras dan mempunyai kadar intelek lebih besar daripada biji jagung menerima keadaan wang sehingga RM25 juta dikebas begitu mudah.

Adakah Malaysia sudah sampai ke peringkat sehingga pegawai penguat kuasa boleh bertindak seperti pencuri? Semua kejadian ini memberi implikasi besar kepada rakyat.

Malaysia kini berhadapan defisit keyakinan rakyat yang terburuk. Apabila semua prinsip yang menjadi teras atau “pillars” sesebuah negara musnah, negara itu hanya menuju kehancuran.

Apabila defisit kepercayaan melebar, tiada rasa hormat kepada mana-mana institusi. Adakah rakyat mahu hidup di negara yang tiada rukunnya?

Seorang rakan memberitahu keluarganya pernah “mengancam” untuk “tidak mengaku anak” jika dia bekerja di luar negara. Hari ini, ibu sama menyuruh semua anaknya berpindah ke negara lain kerana tiada apa boleh diharapkan dari negara ini. Keadaan semasa diburukkan lagi dengan defisit keyakinan terhadap ahli politik.

Ini kesan sebenar defisit keyakinan. Harus diingat seekor burung gagak walaupun berwarna apa sekalipun termasuk putih tetap seekor burung gagak. Apa yang berlaku adalah realiti kegagalan terbesar negara dan lebih ramai akan meninggalkan negara ini.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya