Kenapa perangai rakyat Malaysia macam itu? - Utusan Malaysia

Kenapa perangai rakyat Malaysia macam itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSOALAN ini saya tanya kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Malaysia kenapa ketika negara kita bergerak semakin maju ke depan namun minda kita masih lagi ketinggalan, masih lagi terbelakang dan masih berfikiran seperti masyarakat dunia ketiga.

Lokasi-lokasi riadah dan rekreasi popular yang sebelum ini kembali bersih ekoran tidak dikunjungi orang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekelip mata berubah menjadi tong sampah setelah rentas daerah dibenarkan.

Orang kita langsung tidak mengambil iktibar untuk mengekalkan suasana bersih, segar dan menyamankan itu sebalik bertindak seperti masyarakat yang tidak bertamadun dengan meninggalkan sisa-sisa makanan, sampah-sarap dan lain-lain hingga menyebabkan pencemaran.

Ini juga adalah contoh bagaimana orang kita cakap tidak serupa bikin. Mereka bukannya tidak tahu atau tiada ilmu tentang kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar. Mereka tahu bagaimana sampah sarap yang ditinggal itu boleh mencemarkan dan menjejaskan ekosistem lokasi pelancongan itu selain menjijikkan mata memandang.

Kita selalu tengok dan memuji sikap warga asing terutama dari Jepun yang memastikan apa sahaja sampah yang mereka hasilkan tidak ditinggalkan. Kita tengok ketika Piala Dunia bagaimana penyokong Jepun memastikan tidak ada sampah ditinggalkan di kawasan yang mereka duduk.

Malah ketika datang melancong ke Malaysia, budaya ini mereka bawa. Malah kita sendiri memuji sikap mereka yang amat mementingkan kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata.

Selain itu setiap daripada kita diajar sejak daripada kecil di sekolah akan bahaya pencemaran dan kesan kepada masa depan kita semua selain ajaran-ajaran berkaitan kebersihan.

Bagi yang beragama Islam itu lagilah mendalam kerana ajaran menjaga kebersihan itu ada dalam al-Quran dan hadis. Malah menjaga kebersihan itu sebahagian daripada iman.Tetapi kenapa tidak buat?

Malang sungguh nasib Malaysia kerana memiliki kemudahan setaraf dunia pertama tetapi mentaliti rakyatnya masih di tahap negara dunia ketiga, masih ketinggalan, masih jumud dalam hal-hal yang berkaitan kebersihan dan alam sekitar.

Sebab itu kalau kita tengok di lebuh raya dan jalan raya ada saja pengguna yang mencampak sampah-sarap keluar dari kenderaan tanpa ada rasa bersalah. Biar persekitaran kotor asalkan kereta mereka bersih. Perbuatan itu pula akan ditiru oleh anak-anak yang ada dalam kenderaan itu.Tabiat buruk ini akan diwarisi.

Penguatkuasaan yang longgar turut memburukkan keadaan. Sebab itu berlaku tragedi pencemaran udara di Johor Bahru baru-baru ini hingga ada yang dimasukkan ke hospital. Golongan ini langsung tidak takut untuk menjadikan sungai sebagai tapak pelupusan sisa toksid mereka kerana penguatkuasaan yang lemah.

Kombinasi perangai buruk masyarakat dan penguatkuasaan yang longgar akan terus menyebabkan alam sekitar kita terancam. Jika perangai buruk ini dibiarkan berterusan tidak mustahil kita akan kepupusan segala khazanah alam yang ada.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan
Mingguan Malaysia