Kenapa parti orang muda? - Utusan Malaysia

Kenapa parti orang muda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK menarik apabila bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat menubuhkan parti baharu yang mewakili orang muda dan disusul pula dengan pertemuan melibatkan beberapa ikon generasi muda.

Mereka bukan sahaja profesional tetapi ada juga yang bekerja sebagai petani. Yang pasti mereka bukanlah biasa-biasa, jika tidak hanya membuang masa. Ini soal kuasa, kepemimpinan, pentadbiran kerajaan dan masa depan negara.

Selepas 63 tahun merdeka, sekarang bukan masa untuk bereksperimen tetapi yang dipilih sebagai pemimpin mesti mempunyai hala tuju jelas dan berkeupayaan memberi manfaat kepada 32 juta rakyat.

Sama ada tua atau muda, kalau setakat beretorik dan hanya mengejar impian peribadi, lebih baik beri laluan kepada yang memang mahu berkhidmat untuk rakyat.

Betul, belia masa depan negara dan pemimpin muda akan mewarisi kepemimpinan yang ada. Itu proses yang sudah berlaku sejak sekian lama.

Dalam pertemuan Isnin lalu, perjumpaan Syed Saddiq dengan ikon orang muda itu membincangkan pelbagai isu rakyat, polisi kerajaan, ekonomi dan integriti.

Mereka bosan dengan politik semasa yang penuh perseteruan, pemimpin yang tidak tahu menghormati Perlembagaan serta undang-undang dan ekonomi tidak menentu.

Bagi anak muda, cukuplah muka sama memimpin negara dan penuh kontroversi. Merekalah yang memimpin, mereka juga yang bergaduh dan merekalah segalanya.

Anak muda pernah dilihat gelombang baharu dalam politik tanah air dan penentu corak pengundian tetapi selepas hari pengundian, mereka yang sudah separuh abad juga yang menerajui negara.

Pengundi muda hanya pelengkap agenda mereka.

Tiada masalah siapa pun yang memimpin, asalkan mereka memang berkelayakan.

Syed Saddiq pernah berada dalam gelombang itu dan menjadi anggota kerajaan sebelum tersungkur Februari lalu. Sudah tentu bukan mudah untuk beliau buat kali kedua menarik simpati anak muda demi kelangsungan politiknya.

Pengundi juga semakin matang menjelang PRU-15 dan akan bertanya apa faedahnya parti baharu itu? Hanya rekod wakil rakyat muda sebelum ini yang mampu menjawabnya.

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia