Kenapa membazir makanan? - Utusan Malaysia

Kenapa membazir makanan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARANG berlaku makanan yang dibeli dengan wang titik peluh hasil daripada bekerja lapan jam sehari dibuang begitu sahaja.

Membuang makanan bermakna membuang duit kerana setiap makanan itu bukan datang secara percuma. Ada kos untuk mendapatkannya.

Makanan itu diperoleh sama ada dengan membe­linya daripada para peniaga atau ia dihasilkan daripada usaha bercucuk tanam sendiri tetapi ia juga sebenar­nya melibatkan duit kerana ada kos yang perlu dikeluarkan untuk menanam dan memastikan tanaman itu terus subur.

Tetapi realitinya pembaziran makanan sama ada mentah atau yang sudah dimasak terus berlaku dalam kalangan rakyat negara ini.

Dianggarkan isi rumah di negara ini membazirkan makanan antara 31.9 kilogram hingga 97.3 kilogram per kapita setahun.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan, dapatan Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025 turut menunjukkan pembaziran lebih ketara yang melibatkan makanan diproses atau dimasak berbanding makanan mentah.

Statistik jabatan itu menunjukkan makanan yang telah diproses dan dibazir oleh orang ramai adalah 16.7 peratus melibatkan nasi, 15.8 peratus sayur dan 13.8 lagi peratus melibatkan makanan dari luar.

Bagi makanan mentah pula seperti sayur antara yang banyak dibazir iaitu 29.1 peratus, buah pula sebanyak 22.4 peratus dan makanan laut sebanyak 15 peratus.

Sama ada makanan itu mentah atau yang sudah dimasak, kesemuanya adalah makanan biasa yang diambil setiap hari oleh rakyat negara ini.

Malah ia sering menjadi isu di dada-dada akhbar apabila orang ramai merungut kerana berlaku kenaikan harga makanan, walaupun kadarnya sedikit dan sukar untuk mendapatkan makanan tersebut di rak-rak kedai atau pasar raya.

Tetapi malangnya berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan dan syarikat kontraktor pelupusan sisa pepejal, makanan antara sampah yang mereka kutip.

Malah jumlahnya semakin bertambah iaitu me­ningkat sehingga 30 peratus pada bulan Ramadan. Dianggarkan 90,000 tan makanan yang dihasilkan akan berakhir di pusat pelupusan sampah setiap kali Ramadan.

Dahulu ibu bapa sering mengingatkan anak-anak, nasi akan ‘menangis’ jika tidak habis makan kerana mahu mengelak daripada pembaziran.

Tetapi hari ini ramai yang tidak kisah membuang makanan begitu sahaja. Mereka bukan sahaja membuang nasi tetapi juga lauk pauk yang mahal har­ganya.

Ini berlaku kerana makanan tersebut dimasak secara berlebih-lebihan terutama di hotel-hotel dan kedai.

Sikap orang kita yang suka membeli makanan dalam jumlah yang banyak sehingga mereka tidak larat untuk makan juga antara penyebab berlaku pembaziran.

Peniaga juga harus mengambil tanggungjawab dalam soal pembaziran makanan kerana masakan mereka juga akan menentukan selera orang ramai.

Jika sedap habis, jika tidak dibuang begitu sahaja. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia