Kenapa lelaki lebih banyak kemalangan? - Utusan Malaysia

Kenapa lelaki lebih banyak kemalangan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semalam Utusan Malaysia menyiarkan berita bertajuk lebih ramai lelaki terlibat dalam kemalangan jalan raya. Maka ramailah kaum wanita tersenyum. Selama ini apabila ada sesuatu yang tidak kena di jalan raya maka nama wanita yang dipetik.

Sama ada lalu lintas perlahan, lambat di lampu isyarat dan lain-lain, perkataan klise yang keluar – ini mesti perempuan yang memandu.

Fakta yang dibentangkan oleh Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintenden Dr. Bakri Zainal Abidin nampaknya memihak kepada wanita.

Menurut Dr. Bakri, data yang dikumpul dari tahun 2018 hingga 2021 mendapati pemandu lelaki terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita.

Katanya, ini mengambil kira bilangan penduduk, lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, sekali gus membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita.

Tetapi kaum wanita jangan mendabik dada terlebih dahulu. Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Law Teik Hua ada sebab kenapa lelaki lebih banyak terlibat kemalangan.

Sebabnya, lelaki yang paling ramai memandu di jalan raya di Malaysia. Sana-sini majoriti adalah pemandu adalah lelaki. Balik kampung lelaki (suami) yang memandu.

Wanita (isteri) duduk di sebelah. Lagi pula, apabila berkahwin, lelaki ibarat menandatangani perjanjian akan menjadi pemandu seumur hidup.Ada yang mengambil kesempatan. Ketika suami memandu mereka melelapkan mata. Sedar-sedar sudah sampai ke destinasi.

Ini diakui Prof. Law bahawa lelaki yang majoriti memandu jarak jauh. Lelaki yang bekerja memandu lori dan sebagainya. Ini memerlukan mereka untuk memandu jarak jauh.

Sekali gus meningkatkan risiko kemalangan. Apabila lebih kerap, lebih banyak dan lebih jauh memandu maka sudah tentu risiko untuk terbabit dalam kemalangan lebih tinggi.

Apa pun fakta yang dibentangkan oleh Dr. Bakri ini untuk memberi peringatan kepada kita akan risiko kemalangan jalan raya. Siapa pun yang memandu perlu berhati-hati supaya tidak menyumbang kepada angka kematian di jalan raya.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan angka kematian membabitkan pemandu lelaki lelaki lebih tinggi iaitu 3,965 kes berbanding 574 kes bagi wanita. Angka ini dicatatkan dalam tempoh 2018 hingga 2021. sekali lagi kaum wanita tersenyum.

Senyuman itu sepatutnya disertai dengan nasihat kepada para suami supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya. Terutama kepada suami-suami yang mencari rezeki dengan memegang stering. Pemandu lori, bas, teksi, e-hailing, jentera berat dan sebagaiya. Berhati-hati adalah kunci untuk membendung kes kemalangan jalan raya.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.