fbpx

6 Mac 2021, 2:24 pm

  TERKINI

Kenapa harus takut kepada pengundi 18 tahun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANAK seorang rakan membuatkan ibu bapanya tidak lena tidur. Longgokan pakaian bundle tiba-tiba muncul di depan rumah. Dia bersama beberapa rakan bercadang memulakan perniagaan pakaian terpakai.

Longgokan pakaian itu jika disusun boleh sampai ke bumbung rumah satu tingkat walaupun hanya 30 peratus boleh dijual semula. Apa lebih memeningkan ibu bapa “peniaga muda” itu, anak sama akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Peperiksaan itu seperti tidak lagi penting. Minatnya kini tertumpu kepada perniagaan secara dalam talian. Dia bukan satu-satunya anak muda berfikiran begitu. Ramai lagi pada usia sama sibuk bertanya cara membina perniagaan dalam talian, menjadi YouTuber, Instafamous, Influencer, blogger, dan banyak lagi.

Satu video tular boleh menjana ratusan dolar Amerika. Mereka tidak peduli untuk ke universiti, mendapat ijazah atau meraih pekerjaan tetap. Mereka ini berbeza berbanding golongan sama 40 tahun dahulu.

Apa yang lebih penting, anak-anak ini termasuk 400,000 yang akan menduduki peperiksaan SPM hari ini akan menjadi pengundi pada PRU-15 jika ia diadakan selepas Julai nanti.

Maka timbul pelbagai komen kesesuaian memberikan mandat kepada anak muda seawal usia 18 tahun menjadi pemilih. Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dilaporkan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menghitung baik buruk dan nilai hidup di negara ketika menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Persoalannya, kenapa harus parti atau ahli politik takut kepada pengundi baharu? Bukankah tanggungjawab mana-mana parti dan pemimpin untuk mewakili semua rakyat termasuk tujuh juta pengundi yang akan memasuki daftar pemilih Julai ini?

Bukankah mereka juga yang mencanang bahawa belia harapan negara? Jadi, kenapa hati naluri belia ditakuti?

Ada mengatakan hak untuk pengundi mereka berusia 18 tahun ini akan mewujudkan dua kasta – orang muda dan tua. Kasta umur ini wujud di Malaysia disebabkan ahli politik sendiri.

Berbeza di negara maju, parti-parti politik di Malaysia sejak dahulu mengamalkan segregation. Ada cabang utama, pemuda, puteri, dan wanita. Ahli dan pemimpin dibezakan berdasarkan jantina dan umur sebelum `cukup matang’ untuk menerajui jawatan.

Siapa sebenarnya mewujudkan sistem kasta ini? Kenapa tidak seorang pemimpin muda berkelayakan, berilmu, bebas rasuah, harus menunggu sebelum mendapat pengiktirafan. Lihat warga Malaysia, Jocelyn Yow, 25, yang dilantik sebagai Datuk Bandar di sebuah bandar di California.

Ada norma-norma kolot yang diamalkan sejak merdeka yang tidak lagi sesuai hari ini dan menjadi penghalang kepada kemajuan negara. Ada cerita mengatakan singa menolak anaknya di tebing untuk melihat sama ada ia mampu menaiki semula bukit.

Pengajarannya bahawa kesusahan menjadikan seseorang lebih kuat. Tidak adil untuk menghakimi pengundi berusia 18 tahun ini. Mereka mungkin dapat menawan gunung jika diberi peluang. Mereka mempunyai hak dan suara sama sebagai pewaris negara ini dan untuk menentukan aspirasi dan masa depan negara ini.

 

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.