Kenapa dikecuali Utusan Malaysia? - Utusan Malaysia

Kenapa dikecuali Utusan Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETANG semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat mengeluarkan Nota Kepada Pengarang mengenai liputan media sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Majlis Parlimen Keempat Belas yang akan berlangsung dari 12 September hingga 12 Oktober 2021.

Sekali pandang tiada apa yang menarik. Ia sekadar satu pemberitahuan biasa tetapi apabila dilihat senarai media yang dibenarkan membuat liputan, ada sesuatu yang mengejutkan.

Buat kali pertama, Utusan Malaysia tidak tersenarai sebagai media yang dibenarkan menghadirinya.

Memberi alasan Kuala Lumpur masih berada dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara, hanya 71 wakil media mewakili 12 media dan empat penyiar rasmi diberikan kebenaran termasuk dua portal berita.

Datuk Azhar Azizan Harun juga memberi alasan, pengamal media masih boleh membuat liputan menggunakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif dengan ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

Persoalan ialah apakah kriteria pemilihan media yang diguna pakai oleh pentadbiran Parlimen? Mengapa Utusan Malaysia tidak terpilih? Apakah statusnya sebagai media arus perdana dan akhbar berbahasa Melayu utama tidak cukup kuat untuk dipilih? Mengapa perlu ada diskriminasi media? Mengapa portal berita yang jauh lebih muda boleh diberikan tempat sedangkan Utusan Malaysia yang bukan sahaja ada edisi cetak, tetapi juga edisi digital yang mempunyai lebih 30 juta pageview setiap bulan dan jutaan pengikut di media sosial diketepikan?

Yang menariknya, Jabatan Penerangan diberi lapan tempat merangkumi petugas kawalan media, sekretariat pusat media dan jurufoto manakala Finas mendapat empat tempat.

Mengapa perlu sekretariat pusat media dimasukkan dalam senarai media? Bukankah tempat itu boleh diberikan kepada lebih ramai wakil media yang benar-benar membuat liputan? Staf Jabatan Penerangan boleh dikategorikan di bawah kategori lain.

Tindakan mengehad dan menghalang media tertentu daripada membuat liputan, khususnya media arus perdana tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang kebebasan bersuara termaktub dalam Perlembagaannya.

Kalau benar Parlimen mahu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, tiada mana-mana media sepatutnya dibenarkan membuat liputan, hanya penyiar rasmi sahaja. Itu baru adil dan tiada siapa akan pertikaikan.

Sejarah panjang Utusan Malaysia menjadi bukti akhbar ini sentiasa memainkan peranan yang penting proses penyebaran maklumat kepada rakyat dan semak imbang kepada kerajaan.
Justeru, Parlimen khususnya Yang Dipertua Dewan Rakyat wajar mempertimbangkan semula keputusan itu, apatah lagi sesi kali ini amat penting kepada rakyat kerana Rancangan Malaysia Ke-12 akan dibentangkan.