Kementerian dengan bajet besar tetapi Dr. Dzul perlu jawab semua isu

Kementerian dengan bajet besar tetapi Dr. Dzul perlu jawab semua isu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tiga kementerian yang menerima perbelanjaan paling besar di Malaysia. Ia memiliki 146 hospital termasuk Institut Kanser Negara dan Pusat Jantung Sarawak berdasarkan maklumat di portal kementerian.

Kementerian itu juga menguruskan ratusan klinik komuniti, pergigian dan makmal. Satu laporan menyatakan terdapat 70,229 jururawat terdiri daripada 69,114 anggota lantikan tetap dan 821 lantikan kontrak interim berkhidmat di fasiliti KKM di seluruh negara dalam satu laporan pada Mac lalu.

Laporan sama menyatakan pengisian jururawat di KKM mencapai 88 peratus berbanding 79,814 jururawat diperlukan. Laporan itu menyatakan kementerian itu memerlukan lebih kurang 43,243 jururawat lagi.

Dengan pembukaan lebih banyak hospital baru, apakah tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad? Hanya dengan menjawab tidak ramai mohon, tidak menyelesaikan masalah dihadapi.

Masalah kekurangan jururawat bukan sahaja isu utama di KKM. Sebelum ini dilaporkan lebih 6,000 doktor meletakkan jawatan sepanjang lima tahun lalu. Jumlah mereka yang berhenti berterusan ketika jumlah penduduk mencapai usia menua. Kemudahan dan kepakaran kesihatan mencukupi, penting untuk berhadapan senario mencabar ini.

Dr. Dzul sendiri mengaku tidak memandang enteng perkara itu tetapi apa pelan jangka panjang yang akan menenangkan rakyat bahawa sistem kesihatan sedia ada mampu menghadapi tekanan masa depan.

Dr. Dzul dan pasukannya masih tidak menyatakan beberapa inisiatif yang menghantui warga kerja kementerian itu.

Salah satu daripadanya mengenai Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM. Dr. Dzul sendiri menyatakan ‘KKM AKAN’ mengumumkan garis panduan itu yang akan mengambil kira pandangan semua pihak. Sehingga hari ini, di mana garis panduan berkenaan? Adakah perlu seorang doktor atau jururawat untuk mengambil nyawa sendiri kerana beban kerja akan mendorong satu lagi sesi libat urus?.

Mewujudkan sistem MyHelp KKM tidak cukup untuk menangani masalah yang sebahagian besar berpunca daripada tekanan kerja, kekurangan kakitangan, imbuhan tidak ketara dan sistem yang gagal.

KKM juga sebelum ini dibelenggu masalah pembatalan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Februari lalu berikutan masalah pada sistem ePlacement. Pemilihan baharu dikatakan akan dibuka pada 17 Mac lalu tetapi ditangguhkan lagi ke 25 hingga 27 Mac.

Dr. Dzul juga harus menjawab mengenai pengumuman kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi petugas kesihatan, kononnya kebajikan petugas kesihatan sentiasa diperjuangkan beliau. Di mana kenaikan itu? Membayar RM10 dan RM11 sejam daripada RM9 untuk elaun on-call bukan langkah ke hadapan. Rokok sebatang berharga RM1.20.

Jururawat juga berdepan waktu bekerja 45 jam seminggu, tiga jam waktu tambahan dalam persekitaran perkhidmatan yang kekurangan 40,000 jururawat?.

Dr. Dzul harus bangun dan menjawab semua isu ini sebagai menteri yang kali kedua menerajui KKM. Seorang pemimpin mesti tampil memberi penjelasan dengan berani.

Dalam dunia korporat, semua ketua diingatkan oleh pemegang saham sama ada shape up or ship out. Itu tuntutan terhadap mana-mana pemimpin, suka atau tidak, kerana jawatan tidak datang percuma. Sama ada anda boleh atau tidak. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

×