Kembalikan kepada rakyat - Utusan Malaysia

Kembalikan kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ia seperti deja vu atau pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini. Kira-kira tujuh bulan lalu, khabar angin bertiup kencang mengenai pembentukan pakatan baharu dan kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi pilihan raya 22 bulan sebelum itu, akan tumbang.
Pada petang 24 Februari, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan.
Pada 25 Februari, 90 ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk Tuanku mengetahui pemimpin mana yang mendapat sokongan majoriti dan layak me­nge­tuai kerajaan.
Tidak lama kemudian menerusi apa yang akan se­lamanya terpahat dalam sejarah negara sebagai Langkah Sheraton. Muhyiddin dilantik sebagai PM.
Rakyat selama lapan hari hidup dalam ketidaktentuan sejak perjumpaan di Hotel Sheraton. Negara seperti ber­henti bergerak. Siapa sebenarnya yang mempunyai majoriti?
Kedua-dua pihak mengaku mempunyai majoriti di Parlimen. Sehingga kini, tiada siapa yang tahu.
Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Da­tuk Seri Anwar Ibrahim mengemparkan negara dengan mengumumkan bahawa dia mempunyai sokongan “meyakinkan” daripada ahli parlimen untuk mengetuai kerajaan.
“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta me­yakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh,” katanya dalam sidang akhbar khas.
Dia juga telah menyampaikan hasrat untuk meng­hadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan sokongan ahli parlimen serta niat untuk menerajui kerajaan.
Ini bukan kali pertama Anwar membuat membuat pengumuman mengemparkan. Sejarah politiknya di­penuhi sidang akhbar “gempar” sama ada sokongan ke­pimpinan parti atau ahli parlimen. Diketahui ramai, matlamat akhir Anwar ialah untuk menjadi PM. Cara dan bagaimana, terbuka kepada takrifan umum.
Ketika ini, Anwar yakin dia mendapat sokongan le­bih 123 ahli parlimen iaitu daripada partinya sendiri, DAP, Amanah dan daripada parti yang menjulang nama Anwar – UMNO.
Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno dan BN tid­ak dapat menghalang mana-mana ahli Parlimen untuk menyokong Anwar meningkatkan spekulasi bahawa ada rakan Anwar dalam UMNO berpaling tadah kepada kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan dia masih Perdana Menteri Malaysia yang sah.
32.6 juta rakyat negara ini berhak mendapat sesuatu yang lebih baik berbanding ulang tayang drama “Saya mendapat sokongan majoriti.”
Negara ini, kemerdekaan 63 tahun, pengorbanan mereka yang membina negara ini daripada hanya ladang getah, sawah padi, ladang nenas dan lombong timah lebih penting daripada ahli politik. Tiba masanya ahli politik mengembalikan hak rakyat untuk menentukan siapa yang sebenarnya mendapat majoriti kerana negara ini tersangat istimewa, lebih daripada politik.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan
Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya