Kembali kepada rakyat jika mahu menang

Kembali kepada rakyat jika mahu menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, apa yang tidak dilaluinya sebagai sebuah parti yang kalah.

Dihina, diikeji dan pemimpinnya dipersalah atas kekalahan yang berlaku. Mereka dikaitkan dengan dakwaan seleweng dan rasuah. Ahli parti dan pemimpin bercempera, sesetengah pucuk pimpinan terus mendiamkan diri dan ramai yang panik tentang masa depan parti.

Sebagai sebuah parti yang memerintah negara selama enam dekad, keputusan PRU14 satu tragedi bagi BN.

Penolakan pengundi termasuk daripada ahli parti sendiri dan kemenangan besar parti lawan, Pakatan Harapan (PH) ketika itu amat memeritkan bagi BN dan ia seperti perjalanan akhir mereka dalam politik tanah air.

Malah segelintir pemimpin yang menang dalam PRU14 ada juga yang melompat parti atas alasan mereka sendiri sahaja yang tahu.

Lebih buruk lagi apabila PH perlu melunaskan janji pilihan raya kepada pengundi untuk menahan pemimpin BN yang dikatakan terbabit dalam penyelewengan dana awam.

Seorang demi seorang pemimpinnya ditahan untuk disiasat Ada yang didakwa dan ada yang lepas.

Itu cerita kira-kira lapan tahun lalu. Hari ini BN sema­kin diterima apabila menambah kerusi dan menang besar dalam pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Rahsianya adalah kerana BN kembali kepada rakyat dan memberi apa yang rakyat mahu. Penjajaran semula kerjasama politik dengan musuh tradisinya, Pas turut menambah kekuatannya.

Hari ini juga menyaksikan PH yang menang besar dalam PRU14 melalui saat-saat sukar untuk bersaing de­ngan UMNO dan Pas.

Selain perpecahan dalam kalangan pemimpinnya, kemasukan pengundi muda sebagai pengundi baharu juga tidak banyak membantu mereka seperti diharapkan.

Malah sudah mula berlaku tuding menuding dalam PH antara dua komponennya iaitu PKR dan DAP. Kekalahan di Negeri Sembilan dan Johor memperlihatkan keadaan itu. Sudah ada yang berkata, bukan salah PKR tetapi DAP yang sering timbulkan kontroversi. Begitu juga sebalik­nya. DAP tak salah tetapi PKR yang lupa janji reformasinya.

Itu perkara biasa apabila berlaku kekalahan dalam politik. Ada sahaja yang akan dikambinghitamkan.

Namun belum terlambat untuk PH menyusun semula langkahnya Ada kira-kira dua tahun lagi untuk menghadapi PRU16 dan mengekalkan sokongan rakyat kepada parti itu.

Dalam Kongres Nasional PKR di Melaka yang berakhir semalam, banyak idea dilontarkan bagi mengukuhkan lagi parti itu terutama menjelang PRU16.

Ada yang merasakan PH perlu muhasabah diri selepas berjaya menguasai Putrajaya, dengar suara rakyat biasa, kembali kepada perjuangan asal dan lihat semula kerjasama dengan rakan politik jika mahu melihat PKR dan PH terus relevan.

Sementara semua proses itu berjalan, rakyat terus memerhati perkembangan politik semasa untuk memahami permainan parti-parti politik sebelum membuat keputusan pada PRU16.

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia.

×